MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Wednesday, August 15, 2012

PUNCAK IBADAT




SECARA umumnya, Ramadan terdiri daripada tiga bahagian, 10 hari terawal, 10 hari pertengahan dan 10 hari terakhir yang penuh rahmat, berkat dan pengampunan. Oleh itu, 10 malam terakhir adalah puncak kepada segala ibadah dalam bulan Ramadan.
Sempena 10 hari terakhir Ramadan, umat Islam digalakkan beriktikaf di masjid dan memperbanyakkan ibadat-ibadat pada malamnya seperti Qiamullail dan Solat Sunat Tahajud, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Tasbih, berzikir bertahmid, membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah SWT.
Umat Islam digalakkan menghidupkan malam Ramadan dengan solat. Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah yang bermaksud: Barang siapa melakukan solat pada malam-malam Ramadan dengan iman dan mengharap keredaan-Nya, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Inilah juga yang disebut Qiamullail Ramadan. Iaitu barang siapa melakukan solat malam pada bulan Ramadan sebulan penuh, maka Allah SWT menjanjikan ampunan daripada segala dosa-dosanya. (rujukal-Qadar: 1-5).
Malam qadar mempunyai beberapa erti, antaranya malam kemuliaan, kerana pada malam tersebut permulaan diturunkan al-Quran dari Lauh Mahfuz kepada Nabi Muhammad SAW.
Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Aisyah r.a., dan Ibnu Umar bahawa, Nabi SAW telah beriktikaf di dalam masjid 10 hari terakhir Ramadan.
Pada bulan Ramadan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.
Oleh itu, Rasulullah SAW sangat menggalakkan kita berusaha mencari dan beriktikaf di malam Lailatulqadar. Aisyah r.a., meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Carilah malam Lailatulqadar pada bilangan yang ganjil dalam tempoh sepuluh hari bulan Ramadan. (riwayat Bukhari, Muslim, At-Tarmizi dan Ibnu Majah).
Untuk mencari malam Lailatulqadar ini, masjid dan surau sewajarnya diimarahkan demi menggandakan ibadah.
Ini disebabkan 10 malam terakhir terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu malam Lailatulqadar, 10 malam terakhir ini masjid dan surau sepatutnya penuh seperti sepuluh malam pertama.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa solat malam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan harapan pahala daripada Allah maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat al-Bukhari)...

No comments: