MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Sunday, October 28, 2012

opick - Labbaik Allahumma Labbaik

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat'. Dan inilah antara ciri-ciri kesederhanaan, toleransi dan pertengahan yang paling tinggi kerana syariat Islam tidak melarang kita dari menuntut keduniaan. Malahan syariat Islam menyarankan kepada kita supaya bekerja bersungguh-sungguh cuma hendaklah ditujukan kata-kata dan amalan kita kerana Allah. Ini kerana ilmu pengetahuan adalah senjata yang mempunyai dua mata sekiranya kita gunakan ilmu untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah maka ianya akan memberi faedah dan manfaat, tetapi kalau digunakan ilmu pengetahuan untuk kemusnahan dan kehancuran maka ianya membinasakan dan merugikan...

Saturday, October 27, 2012

Lupakan Rasa Mahu Disanjung


Pujian dan sanjungan merupakan satu bentuk motivasi yang diperlukan oleh setiap manusia. Malah, ada orang yang melakukan pelbagai perkara yang kadangkala di luar dugaan semata-mata untuk mendapatkan pujian dan sanjungan dari pihak lain.

Ada terjadi keadaan di mana sanjungan yang diberikan kepada manusia jauh lebih besar daripada sanjungan terhadap Rabbnya. Ia berlaku walaupun DIA telah memerintahkan setiap hamba agar memberi sanjungan tertinggi dan bersyukur pada-Nya.

Mengapa DIA perlu diberi sanjungan? Kerana DIA menciptakan kita sebagai hamba-nya, Pembekal Rezeki yang dinikmati tanpa diminta dan tanpa henti, memberi jasad yang sempurna tanpa cacat, menganugerahi fikiran yang waras dan cerdas, hati yang tulus lalu menjadi pusat menghubungkan diri hamba kepada Rabbnya.

Kita juga diberi kebenaran menggunakan jantung serta hati tanpa diketahui di mana bermula dan berakhirnya jentera tersebut. Malah, kita sendiri tidak tahu struktur binaannya. Paling penting, biarpun alat yang bernama jantung itu berada di badan kita, tetapi kita tidak pernah mengendalikannya sendiri sehingga tidak diberitahu bila tamat tempoh perkhidmatannya. Begitulah cintanya DIA kepada kita, hamba-nya...

Namun begitu, sering kita terlupa untuk memberi sanjungan. Hamba jenis apa kita ini? Padahal bila mendapat hadiah daripada teman, ada kalanya disimpan di tempat istimewa, dijaga, dikenang serta disanjung pemberinya hingga ke akhir hayat. Itulah kita... manusia yang mengaku hamba-NYA, tetapi sukar memberi sanjungan kepada pembekal jasad kita.

Untuk hidup, kita dilengkapkan dengan fikiran dan emosi sebagai alat merasa, tetapi sukar merasakan hadiah kurniaan-NYA itu sebagai yang termahal buat kita. Lebih buruk lagi, kita sanggup mengingkari, membangkang dan meremehkan nikmat yang diberi oleh-NYA tanpa perlu diminta ini.

Jika kebaikan yang dibekalkan-NYA sahaja diingkari dan tidak disyukuri, jadi mana mungkin kebaikan kita dihargai. Makanya, andai terjadi kepada kita di mana kebaikan yang diberikan tidak dikenang malah dilupakan, janganlah berkecil hati.

Tidak perlu resah atau hairan jika kebaikan yang dilakukan itu membuatkan kita dimusuhi, dicaci dan disingkirkan dari kelompok masyarakat. Usah dipedulikan jika ada yang membina kebencian yang mendarah daging, berpanjangan hanya atas sebab kebaikan yang kita lakukan kepada mereka kerana DIA sudah memberi penawarnya buat kita:
 
Dan mereka tidak mencela (ALLAH dan rasul-Nya) kecuali kerana ALLAH dan rasul-Nya telah melimpah-kan kurnia-Nya kepada mereka. (At-Taubah : 74) 
 
Kejadian sedemikian sering kali terjadi dalam keluarga kita sendiri. Malah, ia sebenarnya sudah bermula sejak ‘zaman Malim Kundang’ dan ‘zaman batu belah batu bertangkup’ lagi hinggalah ke ‘zaman siber’ ini. Sikap tidak mengenang jasa dan menghargai kebaikan orang lain makin melebar, selebar teknologi jalur lebar yang diperkenalkan pada era ini.

Kita dihidangkan dengan kisah anak yang menderhaka kepada orang tua yang telah berkorban kesenangan untuk membesarkan mereka. Ramai anak sudah jauh ingkar dengan perintah orang tuanya.

Sanggup meninggalkan orang tua hanya kerana terjerat cinta nafsu kekasih.

Sanggup pula memutuskan hubungan setelah mampu hidup sendiri dengan meninggalkan mereka di rumah orang tua. Anak sudah berjaya membiaya, tetapi tidak sanggup menjaga. Paling memalukan dan memilukan, ada jenazah orang tua yang tidak dituntut waris di rumah mayat. Dan ada yang dikata menderhaka setelah menabur jasa sebaiknya kerana kedudukan dan kuasa.

Berdasarkan maklumat ini, jelaslah kepada kita bahawa terlalu banyak kebaikan yang tidak dikenang dan jauh sekali untuk membalasnya.

Wahai semua orang tua dan mereka yang pernah menabur kebaikan terhadap sesiapa dan di mana pun. Hadapilah situasi tidak disanjung kebaikan ini dengan lapang dada dan ringan kepala kerana imbalannya pasti diberi ALLAH Yang Maha Menghitung yang tidak pernah tersalah hitung akan kebaikan yang ikhlas dilakukan oleh hamba-nya... DIAlah yang memiliki perbendaharaan yang tidak pernah kurang atau habis.

Saranan ini bukanlah supaya kita menghentikan kebaikan yang dilakukan selama ini. Ia hanya bertujuan agar tiada perasaan ragu atau bersedih dalam meneruskan segala yang baik sekalipun mendapat cacian.

Bulatkan niat berbuat kebaikan hanya kerana-NYA agar hati tidak tersinggung atau terancam dengan cacian. Malah, berasa lebih tabah dan terus bersyukur kepada-NYA kerana membolehkan kita berbuat kebaikan dalam kalangan orang yang berbuat jahat. Inilah sebenarnya yang patut menjadi pegangan kita.

Dorongan motivasi terhebat daripada ALLAH SWT ini harus digenggam kemas:
 
Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan ALLAH. Kami tidak mengharapkan balasan daripada kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih. (al-Insan : 9) 
 
Motivasi ini membuatkan kita bertambah kuat apabila menyedari pesanan Rasulullah SAW:
 
“Bahawa tangan yang di atas itu lebih mulia daripada tangan yang di bawah.” 
 
Penghayatan terhadap pesanan-pesanan tersebut akan membuatkan hamba-NYA yang berakal tidak hilang pertimbangan jika tidak mendapat sanjungan dan pujian daripada orang ramai di sekitarnya. Golongan yang mewah dengan kejian ini merupakan kelompok manusia yang mengingkari nikmat-NYA.

Janganlah bersedih dan gundah-gulana jika tidak diberi sanjungan atas kebaikan yang diberikan. Wahai jiwa, beristiqamahlah. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang berbuat apa jua kebaikan bagi menambah saham serta tiket untuk ke syurga-NYA di dunia dan syurga-NYA di akhirat nanti. Inilah doa kita dan selamanya menjadi harapan yang terpahat kukuh di hati. Insya-ALLAH...

Marah Cetuskan Konflik Dan Peperangan




Dunia hari ini diwarnai dengan pergaduhan dan peperangan. Sama ada peperangan antara bangsa, negara, agama, etnik, suku kaum, bahkan berlaku juga peperangan antara anak-beranak dan kaum keluarga.
            Kenapa semua ini berlaku? Jawapannya tidak lain, kerana manusia hari ini terlalu mengikut perasaan marah yang bermaharajalela dalam diri mereka. Perasaan marah yang sememangnya dibekalkan oleh Allah dalam diri setiap manusia, sekiranya tidak dikawal bahkan dibiarkan menguasai diri, akan membawa kepada kebinasaan sama ada kepada individu yang sedang marah itu, atau kepada orang lain atau benda-benda lain yang ada di sekelilingnya.
            Dari perspektif Islam, kita harus menerima bahawa marah adalah sifat semula jadi atau fitrah setiap manusia. Sewaktu Allah mencipta Nabi Adam a.s, para malaikat mengetahui bahawa dengan sifat marah yang dibekalkan itu, manusia akan berbuat kerosakan di muka bumi. Perkara ini termaktub di dalam al-Quran, “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
            Sudah pastilah setiap kejadian Allah itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Di samping membekalkan sifat marah, Allah turut membekalkan beberapa mekanisme perlindungan supaya manusia dapat menahan diri atau melindungi diri daripada sifat marah yang membawa kepada kebinasaan.
            Sifat marah membezakan manusia dengan binatang. Apabila seekor singa atau serigala menjadi marah, ia akan bertindak tanpa berfikir. Sebaliknya, manusia dibekalkan akal fikiran, maka manusia boleh memilih sama ada bertindak menggunakan akal fikiran atau bertindak membuta tuli sama seperti seekor binatang.
            Kemarahan yang tidak dikawal, memberi impak yang cukup besar dalam kehidupan harian seseorang itu. Ia memisahkan ibu dan anak, merenggangkan persahabatan, menjauhkan keadilan, membawa kepada kemurungan dan kekecewaan, membawa kepada kegilaan dan akhirnya membawa kepada penyesalan yang tidak terhingga.
            Sekiranya kemarahan menguasai kelompok atau jumlah individu yang ramai, maka kemusnahan yang akan terjadi jauh lebih besar skalanya. Ia menyebabkan peperangan sehingga memusnahkan sebuah bandar, bahkan sebuah negara, bangsa dan sebuah tamadun.

Mengekang Kemarahan
            Keinginan semula jadi yang dipenuhi, akan dapat mengelakkan rasa marah. Misalnya keinginan kepada makanan, minuman, tempat tinggal, kasih sayang, seks dan banyak lagi.
            Dalam tubuh manusia, terdapat beberapa jenis hormon yang mempengaruhi mood atau perasaan seseorang itu. Kajian saintifik menunjukkan keadaan hypoglycemia dan hyperthyroidisme boleh membuatkan seseorang itu berasa marah. Bagi mengelakkan keadaan ini, maka seseorang itu hendaklah memastikan kadar hormon di dalam tubuhnya sentiasa seimbang dengan cara menjaga kesihatan tubuh badannya.
Nabi s.a.w. tidak pernah menunjukkan kemarahan baginda terhadap golongan kafir Quraisy yang sentiasa bertindak di luar batasan terhadap kaum Muslimin. Bahkan, baginda sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan penuh hikmah. Bagaimanakah cara baginda mengawal kemarahan?
Suatu ketika seorang sahabat meminta nasihat daripada baginda, lalu kata Nabi, “Janganlah kamu marah.” Sahabat yang lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Nabi: “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” Sahabat lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka kata Nabi, “Janganlah marah.”
Suatu ketika, baginda bertanya kepada para sahabat. “Siapakah orang yang paling kuat di kalangan kamu?” Maka para sahabat memberi berbagai-bagai jawapan. Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Bukanlah orang yang kuat itu dengan banyaknya berperang, hanya sanya yang kuat itu orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah.”
Sebagai manusia biasa, Nabi juga berasa marah. Namun baginda tidak pernah menunjukkan kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa bagi mengawal rasa marahnya.

Kemarahan yang Wajar
            Seseorang yang tidak mempunyai rasa marah terhadap penindasan, penderaan, ketidakadilan dan salah laku yang berlaku di hadapannya, hakikatnya adalah seorang yang tidak memiliki perasaan. Dengan membiarkan perkara-perkara negatif itu berlaku, maka kejahatan akan berleluasa di muka bumi. Sewajarnya, pada ketika inilah seseorang itu patut marah dengan cara menghentikan kejahatan itu dengan kaedah yang telah digariskan oleh Allah dan ditunjukkan oleh Rasul-Nya.
            Bersikap tidak endah terhadap kejahatan dan ketidakadilan, samalah hakikatnya seperti menyumbang ke arah itu.

Kesan Kepada Tubuh
Secara psikologi, apa yang berlaku kepada diri seseorang itu apabila dia marah? Kadar denyutan jantung dan tekanan darahnya akan meningkat. Ini adalah kesan langsung akibat lebihan hormon adrenalin dalam sistem peredaran darah. Kekuatan fizikal juga akan meningkat manakala kewarasan dan daya berfikir menurun.
Organ-organ badan yang berada dalam kawalan, akan hilang kawalan. Lidah akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan mengguris hati, tangan akan memukul, kaki akan menendang apa saja yang berada di kelilingnya, bahkan dia mungkin akan mencederakan dirinya sendiri.
Apabila rasa marah yang berpanjangan menguasai diri, rasa marah ini perlu diluahkan atau dihilangkan. Sekiranya perasaan ini dipendam, lebihan hormon adrenalin akan menjadi toksin dalam tubuh dan menjejaskan kesihatan untuk jangka masa panjang. Dia bukan saja akan menjadi seorang yang murung, kecewa, malah fikiran yang bercelaru yang boleh membawa kepada kegilaan. Tekanan darah yang tinggi dan kadar denyutan jantung yang laju akan membawa kepada serangan jantung dan penyakit fizikal yang lain.

Ubat Marah
            Individu yang normal pasti akan mengalami perasaan marah apabila berhadapan dengan situasi yang memungkin perkara itu berlaku, dan kemarahan itu tidak boleh dielakkan. Perkara-perkara yang boleh dilakukan untuk menghilangkan rasa marah adalah seperti berikut:
  1. Sibukkan diri dengan mengingati Allah. Misalnya dengan berzikir dan berselawat. Firman Allah dalam sebuah hadis qudsi: “Wahai anak-anak Adam, apabila kamu marah, ingatlah kepada-Ku.”
  2. Meminta nasihat daripada orang berpengalaman. Suatu kisah yang berlaku pada zaman Nabi, sepasang suami isteri yang sering bergaduh bertemu baginda untuk meminta nasihat. Lalu kata Nabi, “Apabila kamu berasa marah, maka hiruplah air dan biarkan air itu di dalam mulutmu sehingga kemarahanmu reda.”
  3. Marah itu datangnya dari syaitan. Oleh itu, mintalah perlindungan dari Allah seperti membaca kalimah taawuz.
  4. Jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, dan jika sedang duduk, maka hendaklah berbaring.
  5. Fikirkan tentang kemurkaan Tuhan dan hukuman dari-Nya. Siapakah yang lebih besar kemarahannya, manusia atau Tuhan. Apa akan berlaku sekiranya Tuhan menunjukkan kemurkaan-Nya?
  6. Maafkan orang yang menyebabkan kemarahan itu. Setiap orang melakukan kesilapan termasuk diri kita. Jika kita mengharapkan keampunan Tuhan, maka wajarlah kita bersedia untuk memaafkan orang lain. Sifat saling maaf-memaafkan akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat.
  7. Berwuduklah. Sebaik-baiknya lakukan solat sunat.

Ingatlah bahawa kehidupan ini hanya sementara saja. Setiap orang akan mati dan akan diadili di padang mahsyar kelak. Oleh yang demikian, perkara terbaik yang wajar dilakukan apabila ada orang yang menyebabkan kemarahan, ialah membalas kemarahan itu dengan kebaikan dan kasih sayang. Apabila perkara ini mampu dilakukan, barulah dunia akan menjadi tempat yang indah untuk didiami, aman dan sentosa...

ISLAM ITU MUDAH DAN SEDERHANA






Hanya satu Jenama Pokok, begitu lah juga didalam konsep perjuangan didalam Islam, satu pokok, akan tetapi ranting rantig itu bercambah dan mencantikan pemandangan dimata seterus nya kepada pancaindera kehidupan kita, tidak kah kita perlu be
rfikir dan merenung sejenak kekuasaan Allah swt menjadikan Gunung ganang serta apa yang telah diujudkan nya sebagai perhiasan dunia bagi manusia yang beruntung menggunakan akal dan fikiran mereka kearah yang lebih terbaik...
sayang seribu kali sayang mereka tidak dapat menggunakan nya kearah yang lebih sempurna...

ISLAM ITU MUDAH DAN SEDERHANA
Ucapan Syeikh Al-Azhar

Saya amat gembira sekali apabila berada di negara Malaysia. Setiap rakyat negara Mesir amat menghormati dan mengasihi negara ini kerana Islam telah menyatupadukan hati kita semua dan menjadikan kita satu umat sepertimana firman Allah yang bermaksud:
'Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Daku'. (Surah al-Anbiya’ : 92)

Kita bertemu adalah atas ketaatan kepada Allah dan bukan kerana keseronokan yang fana’ atau keinginan yang sementara. Kita bertemu adalah untuk memberi khidmat kepada agama, berkhidmat kepada umat Islam seluruhnya dan bekerjasama atas kebajikan dan ketaqwaan, bukan atas dosa dan permusuhan. Perjumpaan-perjumpaan seumpama ini ditakdirkan oleh Allah di dunia ini untuk kita berkenal-kenalan dan nasihat menasihati serta meningkatkan hubungan silaturahim sepertimana disebut dalam firman Allah yang bermaksud:
'Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan dan bangsanya).(Surah al-Hujurat : 13)

Kita amat bersyukur ke hadrat Allah yang telah menjadikan kita semua sebagai orang-orang Islam dan pengikut junjungan Nabi Muhammad s.a.w. yang telah membawa agama Islam kepada kita iaitu agama yang terakhir. Firman Allah yang bermaksud:
'Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi'.(Surah ali-Imran : 85)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:
'Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu,
dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama
untuk kamu'.(Surah al-Ma’idah : 3)

Kita semua mengetahui bahawa agama Islam adalah agama yang diredhai Allah untuk hamba-hamba-Nya dan agama Islam ini kita dapati sepertimana tajuk ceramah pada hari ini iaitu agama sederhana, mudah dan toleransi. Pengertian-pengertian ini kita dapat lihat dalam satu ayat al-Qur’an bermaksud:
'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia, dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan'.(Surah al-Qasas : 77)

Ayat yang mulia ini mengandungi lima ungkapan yang berupa panduan yang bijaksana dan pengertian-pengertian yang mulia yang membuktikan al-Qur’an ini adalah dari Allah yang sentiasa memberi petunjuk ke arah yang lebih sempurna. Setiap ungkapan dalam ayat ini memandu kita ke arah mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Ayat ini disebut di dalam al-Qur’an selepas ayat yang menceritakan kisah Qarun iaitu:
'Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka, dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) tatkala kaumnya berkata kepadanya: 'Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu)'.(Surah al-Qasas : 76)

Kemudian datanglah ayat seterusnya yang bermaksud: 'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat' iaitu tuntutlah dengan apa yang telah dianugerahkan kepada kamu dari akal fikiran, kesihatan, harta benda, jawatan, pangkat atau kuasa. Tuntutlah segala nikmat tadi bagi mencapai keredhaan Allah dan balasan pahalanya dan gunakanlah sepenuhnya untuk berkhidmat kepada agama kebenaran, kebaikan dan akhlak yang mulia. Perkataan 'Tuntutlah' bermaksud, pintalah dan capailah ganjaran pahala dengan menggunakan segala nikmat tersebut.

Apabila seseorang lelaki atau wanita Islam hidup di dunia ini dengan berlandaskan pengertian tersebut dan menurut arahan yang murni ini, sudah tentu ia akan bahagia di dunia dan bahagia di akhirat kerana nikmat-nikmat Allah kepada manusia itu banyak sekali. Sekiranya manusia menggunakan nikmat-nikmat tadi untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah dalam lingkungan suruhan dan perintah-Nya sudah pasti ia akan hidup dalam jalinan hubungan yang baik dengan penciptanya dan akan hidup dalam keadaan aman damai.

Dengan itulah kita dapati Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan kepada kita bahawa manusia dalam menghayati nikmat Allah itu terbahagi kepada empat kumpulan dalam sabdanya yang bermaksud:
'Dunia ini dimiliki oleh empat kumpulan manusia, Pertama: hamba yang telah dianugerah harta dan ilmu lalu ia bertaqwa kepada Tuhannya dengan menjaga hubungan silaturahim dan mengenali tanggungjawabnya kepada Allah. Orang ini adalah yang terbaik. Kedua: hamba yang dianugerahkan ilmu tanpa harta tetapi ia mempunyai niat yang baik, di mana katanya: 'Jika aku mempunyai harta nescaya aku akan lakukan (kebaikan) sepertimana dilakukan oleh sifulan itu'. Maka dengan niatnya itu, ia akan diberi pahala sama seperti orang yang berharta. Ketiga: seorang hamba yang dianugerahkan harta tanpa ilmu maka ia akan menyalahgunakan hartanya, tidak bertaqwa kepada Tuhannya, tidak memelihara hubungan silaturahim dan tidak mengira hak-hak Allah kepadanya. Ini adalah kumpulan yang paling buruk. Keempat: seorang h

Dalam hadith yang ringkas tetapi begitu bermakna sekali, Rasulullah s.a.w. telah membahagikan manusia kepada empat kumpulan; dua kumpulan mendapat keuntungan manakala dua kumpulan lagi mendapat kerugian. Dua kumpulan yang berjaya ialah hamba yang dianugerahkan harta bersama ilmu dan hamba yang dianugerahkan ilmu tanpa harta. Dan dua kumpulan yang kerugian pula ialah hamba yang dianugerahkan harta tanpa ilmu dan yang tidak dianugerahkan kedua-duanya sekali. Maka ayat al-Qur’an yang mulia tadi datang untuk memandu kita supaya menuntut keredhaan Allah dengan ilmu pengetahuan. Mereka yang menggunakan ilmu pengetahuannya untuk kebaikan dan kebajikan kepada manusia dan mengguna nikmat-nikmat Allah pada tempatnya maka mereka ini adalah termasuk dalam golongan yang diredhai Allah.

Inilah yang dikehendaki dalam firman Allah tadi yang bermaksud: 'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat'. Dan inilah antara ciri-ciri kesederhanaan, toleransi dan pertengahan yang paling tinggi kerana syariat Islam tidak melarang kita dari menuntut keduniaan. Malahan syariat Islam menyarankan kepada kita supaya bekerja bersungguh-sungguh cuma hendaklah ditujukan kata-kata dan amalan kita kerana Allah. Ini kerana ilmu pengetahuan adalah senjata yang mempunyai dua mata sekiranya kita gunakan ilmu untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah maka ianya akan memberi faedah dan manfaat, tetapi kalau digunakan ilmu pengetahuan untuk kemusnahan dan kehancuran maka ianya membinasakan dan merugikan.

Oleh itu, kesederhanaan Islam menggariskan bahawa syariat Islam menyeru kita untuk menjadi hartawan, berilmu, kuat dan mempunyai segala macam keperluan dan kemudahan hidup di dunia, tetapi ingat, hendaklah digunakan segala nikmat-nikmat ini untuk ketaatan kepada Allah dan keredhaan-Nya serta bagi perkara yang membawa kebaikan kepada dirimu, keluargamu, jiranmu dan kepada umatmu di mana kamu adalah salah seorang daripadanya.

Kemudian datang ungkapan kedua yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama sederhana, pertengahan, mudah, toleransi dan agama nasihat menasihati dengan kebenaran dan dengan kesabaran. Ungkapan kedua itu bermaksud: 'Janganlah kamu lupa habuanmu di dunia'. Boleh jadi ada orang yang bertanya, 'Apakah hubungan ungkapan kedua ini dengan ungkapan yang pertama tadi?' Maka boleh jadi ada di kalangan orang ramai yang menyangka dari ungkapan pertama itu bahawa Islam adalah agama yang menyeru kepada zuhud dari menikmati keduniaan. Boleh jadi juga ada yang menyangka agama Islam menyeru kepada zuhud yang mutlak dengan meninggalkan apa jua nikmat yang telah dianugerahkan Allah kepada manusia dan menyeru pula supaya tidak memakmurkan dunia ini dengan kerja-kerja yang baik dan positif. Sesungguhnya ungkap

Maka isilah kehidupan anda dengan pembangunan dan apa jua kegiatan yang boleh membawa kebaikan kepada umat anda dengan syarat segala-galanya itu tidak menjejaskan ketaatan anda kepada Allah. Maka ungkapan kedua ini datang untuk mengatakan kepada seseorang muslim itu supaya tidak lupa habuannya di dunia ini, nikmatilah makanan yang baik, pakaian yang bersih, harta yang halal, kesihatan, ilmu pengetahuan dan bukalah hati anda terhadap ilmu yang berfaedah sama ada ilmu agama atau ilmu-ilmu yang berkaitan dengan perubatan, kejuruteraan, pertanian, ekonomi dan sebagainya. Iaitu selagimana ilmu tersebut anda gunakan untuk ketaatan kepada Allah, memberi khidmat bakti kepada agama, kepada perkara kebaikan dan dalam perkara yang boleh membantu anda dan umat anda untuk berdikari dan tidak lagi meme'Janganlah kamu lupa habuanmu di dunia ini'.

Makna yang seumpama ini juga didapati daripada firman Allah dalam Surah al-A’raf yang bermaksud:
'Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah dan minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. Katakanlah (wahai Muhammad): 'Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?' Katakanlah: 'Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat'. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-oran

Kesederhanaan tersebut dan syariat yang telah diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah bertujuan supaya manusia mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ini kerana dunia ini diciptakan oleh Allah supaya kita memakmurkannya dan membangunkannya dengan kata-kata yang baik, dengan amalan-amalan soleh, dengan pertanian yang boleh menyelamatkan kita dari terus menghulur tangan memohon ehsan pihak lain, dengan ilmu yang berfaedah seperti perubatan, kejuruteraan, pertanian, perindustrian dan lain-lain lagi. Ini kerana tanggungjawab manusia dalam kehidupan ini di samping mengerjakan ibadat kepada Allah ialah untuk membangunkan dunia ini dan memakmurkannya dengan segala macam usaha yang boleh memberi manfaat dan kebaikan kepada ummah. Dalam surah Hud Allah berfirman yang maksudnya:
'Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka Nabi Salleh. Ia berkata: 'Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya'.(Surah Hud : 61)

Yang dimaksudkan memakmurkannya itu ialah membangunkan muka bumi dengan pelbagai bentuk kemajuan dan kemakmuran. Dan dengan makna yang sama Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang maksudnya: 'Sekiranya berlaku kiamat dan di tangan salah seorang dari kamu ada benih kurma maka hendaklah ditanamkannya'.

Nabi kita Muhammad s.a.w. menggalakkan kita supaya tidak mengabaikan usaha-usaha memakmurkan muka bumi. Malahan kita digalakkan supaya menitikberatkan soal-soal berkaitan pertanian, perindustrian dan apa jua usaha yang membawa faedah dan kebaikan kepada kita selagimana ianya tidak melalaikan kita daripada ketaatan kepada Allah, dan menunaikan ibadah kepada-Nya.'Dan janganlah kamu lupa habuanmu di dunia ini', bermakna jadikanlah diri kamu di dunia ini sebagai orang yang membangunkannya bukan meruntuhkannya, melakukan pembaikan bukan kemusnahan, membina bukan perosak, menyatupadukan bukan memecahbelahkan dan berilmu bukan jahil.
Apabila kita membaca al-Qur’an kita akan dapati kata dasar ( ) yang terdiri daripada 3 huruf dan perkataan-perkataan yang dibentuk daripada kata dasar ini seperti ( ), ( ),
( ), ( ) dan ( ). Perkataan-perkataan ini disebut di dalam al-Qur’an tidak kurang daripada 500 kali.

Bukankah kelebihan Nabi Adam a.s. yang dianugerahkan Allah kepadanya bagi mengatasi para malaikat adalah ilmu? Iaitu bukan dengan kekuatan badan atau kelebihan harta, pangkat dan kekuasaan bahkan Allah S.W.T. memberi kelebihan ilmu kepada Nabi Adam a.s. yang tidak diberikan kepada para malaikat. Firman Allah yang bermaksud:
'Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: 'Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi'. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): 'Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?' Tuhan berfirman: 'Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya'. Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkanya kepada malaikat lalu Ia berfirman: 'Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar'. Malaikat itu menjawab: 'Maha Suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain da

Maka kelebihan yang Allah anugerahkan kepada Nabi Adam a.s. sehingga berjaya mengatasi para malaikat ialah dengan ilmu. Begitulah kita dapati al-Qur’an banyak memperkatakan kelebihan ilmu dalam puluhan ayatnya malah dalam ratusan ayat-ayat al-Qur’an. Memadailah kita sebutkan di sini bahawa Allah S.W.T. memerintahkan Nabi kita Muhammad s.a.w. supaya memohon dari Allah kelebihan nikmat di mana Allah berfirman kepada baginda supaya memohon pertambahan ilmu sepertimana yang dapat difahami dari ayat 114 dari Surah Taha yang bermaksud:
'Maka Maha Tinggilah Allah, Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-Qur’an sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: 'Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku'.

Oleh itu apabila ada di kalangan manusia berusaha mencari rezeki dan menuntut ilmu maka ini adalah selaras dengan firman Allah yang bermaksud: 'Dan janganlah kamu lupa habuanmu di dunia ini', kerana dunia tidak boleh dimakmurkan dengan kejahilan sebaliknya dengan ilmu pengetahuan dan kekuatan. Akan tetapi kekuatan di sini bukan bermakna kezaliman, penindasan, paksaan atau permusuhan. Kekuatan yang kita maksudkan di sini ialah kekuatan yang saksama, yang mengandungi kasih sayang, yang berlandaskan kebijaksanaan, yang memberi hak kepada yang berhak, yang berpihak kepada kebenaran, yang membawa kepada kemenangan dan yang sanggup menentang kezaliman sehingga ianya dapat dihancurkan.
Itulah kekuatan yang dikehendaki oleh syariat Islam dan kekuatan itu adalah salah satu sifat Allah Taala dalam firman-Nya yang bermaksud:
'Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah, Yang Maha Kuat Lagi Maha Kuasa'. (Surah Hud : 66)

Dalam ayat lain, Allah telah menetapkan:
'Sesungguhnya Aku dan Rasul-Rasul-Ku tetap mengalahkan (golongan yang menentang)'. Sesunguhnya Allah Maha Kuat Lagi Maha Kuasa'. (Surah al-Mujadalah : 21)

Kekuatan juga merupakan sifat para malaikat. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
'Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras, kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkannya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan'.(Surah al-Tahrim : 6)

Kekuatan juga adalah antara sifat Nabi kita Muhammad s.a.w. dan sifat para pengikutnya:
'Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam)'.(Surah al-Fath : 29)

Ini semua termasuk di bawah pengertian firman Allah yang bermaksud: 'Dan janganlah kamu lupa habuanmu di dunia ini'. Dunia memerlukan kepada harta benda, kekuatan, ilmu pengetahuan, akal fikiran, keazaman yang kuat, pembangunan dan pengagihan kemewahan. Dunia memerlukan kepada semua ini dan memerlukan kerjasama antara kita. Maka apabila kita menunaikan perkara-perkara tersebut mengikut panduan dan cara yang diredhai Allah, maka ini bererti kita telah memenuhi kehendak Allah S.W.T. yang terdapat di dalam ayat yang bermaksud:
'Dan janganlah kamu lupa habuanmu di dunia ini'.

Tiga orang sahabat telah datang menemui isteri-isteri Rasulullah s.a.w. untuk bertanyakan tentang ibadah baginda. Salah seorang daripadanya berkata: 'Aku beribadat sepanjang malam tanpa tidur'. Berkata yang kedua 'Aku pula berpuasa sepanjang tahun tanpa berbuka'. Berkata pula yang ketiga 'Aku pula mengasingkan diri dari wanita dan tidak berkahwin'. Tuturkata mereka itu telah sampai ke pengetahuan Rasulullah dan Baginda mengatakan kepada mereka sepertimana yang terdapat dalam hadith sahih maksudnya: 'Akulah yang paling bertaqwa dan takut kepada Allah, tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku sembahyang dan tidur, dan aku berkahwin. Sesiapa yang tidak sukakan sunnahku maka ia bukan dari golonganku'.

Dengan ini dapatlah difahami bahawa syariat Islam adalah syariat sederhana, toleransi, mudah, adil dan saksama. Ia tidak melarang orang Islam dari memiliki perhiasan dunia, malah ia mengarahkan supaya menuntut nikmat-nikmat Allah berupa kesihatan, harta benda, pangkat, keturunan dan sebagainya untuk memakmurkan kehidupan tetapi segala-galanya hendaklah digunakan untuk ketaatan kepada Allah. Janganlah anda gunakan ilmu anda untuk kemaksiatan tapi gunalah ia untuk ketaatan kepada Allah. Janganlah anda gunakan jawatan anda untuk kemaksiatan atau kezaliman tetapi gunakanlah ia untuk meningkatkan ketaatan kepada Allah. Janganlah anda gunakan kekuatan anda untuk menghina manusia atau memusuhi mereka tetapi gunakanlah ia untuk meninggikan kalimah Allah, membantu orang-orang yang dizalimi dan men
'Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan jangan kamu lupa habuanmu di dunia ini'.

Seterusnya datang ungkapan yang ketiga bermaksud: 'Dan berbuat baiklah kepada hamba-hamba Allah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah)'. Allah telah berbuat baik kepadamu dengan menganugerahkan akal fikiran maka gunakanlah ia pada perkara yang memberi faedah bukan perkara yang memudaratkan. Gunakanlah akalmu untuk berkhidmat kepada agamamu, umatmu dan kepada kebenaran dan kelebihan. Gunakanlah kesihatanmu dalam ketaatan kepada Allah, dalam membuat kebaikan untuk dirimu, keluargamu, umatmu dan masyarakat yang kamu adalah sebahagian daripadanya. Gunakanlah keturunan dan pangkatmu untuk memberi khidmat kepada kebenaran dan kelebihan serta dalam menegak keadilan di kalangan manusia.
Al-Qur’an telah meminta kita bersikap adil dalam tutur kata:
'Dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu)'. (Surah al-An’am : 152)

Bersikap adil dalam membuat keputusan (hukum):
'Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil'. (Surah al-Nisa’ : 58)

Bersikap adil dalam membuat pengakuan (persaksian) sepertimana firman Allah yang bermaksud:.
'Dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu, dan hendaklah kamu menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata'. (Surah al-Talaq : 2)

Bersikap adil dalam penulisan perjanjian di mana ayat terpanjang dalam al-Qur’an yang membicarakan soal hutang piutang telah menyebut perkataan keadilan berkali-kali:
'Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu, maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya itu). Dan hendaklah seorang penulis di atara kamu menulisnya dengan adil (benar)......'(Surah al-Baqarah : 282)

Bersikap adil dalam usaha-usaha perdamaian antara manusia:
'Dan jika dua pihak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya, jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah, jika ia kembali patuh, maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil'.(Surah al-Hujurat : 9)

Bersikap adil terhadap lawan dan kawan sepertimana firman Allah S.W.T. yang bermaksud:
'Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa'. (Surah al-Ma’idah : 8)

Islam adalah agama ehsan, agama keadilan, agama kedamaian, agama keamanan, agama toleransi, agama kemewahan dan agama pembahagian hak kepada yang berhak menerimanya. Tidak ada kezaliman dalam Islam. Sesungguhnya agama Islam yang istimewa dengan keadilan, kesederhanaan, kemudahan dan toleransi itu memerintahkan kita supaya sentiasa komited dengan keadilan, iaitu keadilan dalam perkataan, dalam membuat keputusan, dalam tingkah laku, dalam muamalat dan keadilan dalam semua aspek kehidupan kerana dengan keadilanlah sesuatu umat itu akan hidup. Oleh sebab itulah syariat Islam memerangi sifat fanatik yang membuta tuli dan sifat perkauman yang dicela. Syariat Islam menganggapkan manusia lahir dari satu ibu dan bapa. Firman Allah yang bermaksud:
'Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga membiakkan dari kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai'. (Surah al-Nisa’: 1)

Firman-Nya lagi:
'Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).' (Surah al-Hujurat: 13)

Oleh itu ulama’ fiqh telah membahagikan orang bukan Islam kepada tiga kumpulan. Pertama: Orang-orang bukan Islam yang tidak tinggal bersama kita dalam sebuah negara, tetapi mereka tidak memusuhi kita dan tidak memburukkan kita. Sebaliknya kita bertukar-tukar manfaat dan kepentingan yang diharuskan oleh Allah. Mereka seperti ini telah dinyatakan oleh al-Qur’an dalam firman Allah yang bermaksud:
'Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa'. (Surah al-Taubah : 7)

Kedua: Orang bukan Islam yang tidak tinggal bersama kita seperti kumpulan pertama tetapi mereka ini memburukkan kita, memusuhi kita dan menyekat usaha-usaha yang boleh membawa kebaikan kepada kita. Bahkan kemungkinan mereka ini memerangi kita. Kumpulan ini telah disebut oleh al-Qur’an yang bermaksud:
'Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh'. (Surah al-Baqarah : 190)

Ketiga: Orang bukan Islam yang hidup bersama kita dalam sebuah negara, mempunyai kepentingan hidup yang sama dan mungkin juga mempunyai kewarganegaraan yang sama. Maka syariat Islam menjelaskan kepada kita tentang kumpulan ini bahawa kita dan mereka mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama. Setiap manusia itu mempunyai aqidahnya yang tersendiri dan aqidah itu tidaklah dijual beli. Paksaan untuk mengubah kepercayaan dan aqidah tidak akan melahirkan orang-orang mukmin yang sejati, sebaliknya melahirkan orang-orang yang munafik dan pendusta. Aqidah adalah tidak dijual beli, tetapi aqidah itu akan berada pada manusia sepertimana mengalirnya darah dalam tubuh badan. Ia tidak boleh dipaksa. Sebab itulah al-Qur’an telah menegaskan maksud ini berulang-ulang kali:
'Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)'. (Surah al-Baqarah : 256)

Dalam ayat lain:
'Oleh itu, berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad kepada manusia dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang rasul pemberi ingatan. Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu)'. (Surah al-Ghasyiyah : 21-22)

Firman-Nya lagi yang bermaksud:
'Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?' (Surah Yunus: 99)
'Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya'. (Surah al-Qasas : 56)

Setiap insan berhak untuk berpegang dengan aqidahnya dan Allah jua yang akan mengambil kira dan menghukum manusia terhadap aqidah masing-masing. Itulah yang dikatakan toleransi dan kesederhanaan Islam. Islam tidak memaksa supaya orang menukar aqidahnya tetapi ia memandu manusia supaya mengenal kelebihan dan etika Islam serta nilai-nilai kerohanian Islam. Kemudian Allah memerintahkan supaya kita mengatakan:
'Dan katakanlah (wahai Muhammad) kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman, dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah ia mengingkarinya'. (Surah al-Kahfi : 29)

Ini kerana aqidah bukan paksaan.
Ungkapan yang keempat pula ialah: 'Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi'. Hendaklah kamu menjadi seorang pembaikan bukan perosak. Maksud ayat ini ialah jangan kamu lakukan, menuntut atau turut serta melakukan kemusnahan di muka bumi, bahkan jadilah kamu orang
yang membina bukan meruntuh, membaiki bukan merosak, memajukan bukan memundurkan dan menyatupadukan bukan memecahbelahkan. Jadilah kamu manusia yang mempunyai
hati, tangan dan lidah yang bersih, mempunyai akal yang sentiasa berfikir dengan sempurna, jauh dari penipuan, kezaliman dan permusuhan dan jauh dari kehinaan. Dan jadilah kamu sebagai manusia yang sukakan pembaikan dan bencikan kemusnahan. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T.
dalam ayat: 'Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi'.

Kemusnahan adalah bertentangan dengan pembaikan. Keganasan, ekstrim, kezaliman, permusuhan, pencerobohan dan penindasan adalah suatu kemusnahan. Dengan sebab itulah kita dapati puluhan ayat malah ratusan ayat al-Qur’an memerintah umat Islam supaya menjauhkan diri daripada sebarang kehinaan malah dituntut supaya merebut kebaikan dan kelebihan. Firman Allah yang bermaksud:
'Katakanlah: marilah supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun, dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) yang terang daripadanya dan yang tersembunyi, dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syara’). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, s

Demikianlah syariat Islam yang merupakan syariat keadilan, kedamaian, keamanan, kekuatan, keilmuan, persamaan antara manusia, persamaan antara lelaki dan wanita serta persamaan dari segi asal kejadian lelaki dan wanita yang dicipta dari asal yang satu... WallahHuAllam...

Friday, October 26, 2012

Jauhi akhlak buruk sangka



SEJAK akhir-akhir ini, 
sesetengah kita ghairah mengeluarkan kenyataan tanpa memikirkan kesannya terhadap individu dan sensitiviti orang lain. Dalam diri mereka, ada sikap mencari kesilapan orang yang tidak sependapat, malah ditabur fitnah dan penuh dengan buruk sangka.

Islam sentiasa menyuruh agar sentiasa bersangka baik sesama insan, baik kepada Muslim dan bukan Muslim sehingga ada keterangan dan bukti yang boleh kita mengambil langkah berjaga-jaga.

Ayat Allah banyak mengingatkan kita bersangka baik kerana boleh menjamin kesejahteraan dan keamanan sejagat. Allah berfirman bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kamu daripada sangkaan (iaitu sangkaan membawa kerosakan) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa…” (Surah al-Hujurat: 12)

Ayat Allah itu membawa suatu petunjuk kepada kita bahawa orang beriman sentiasa bersangka baik kepada insan, terutama sesama Muslim.

Ramai di antara kita hari ini gemar menilai perilaku individu lain. Lebih menyedihkan apabila kebaikan orang lain ditafsirkan mempunyai agenda dan matlamat tersendiri.

Ini jelas menyalahi apa dinasihatkan Rasulullah s.a.w:

“Aku tidak disuruh untuk menyelidiki setiap gerak hati manusia (membaca niat di hati manusia lain) dan perut mereka” (Riwayat Al-Bukhari, no 4094, 4/1581 : Muslim, 2/742)

Bagaimana kita berinteraksi dengan ayat Allah dalam surah al-Hujjurat dan juga hadis muttafaqun alaih (al-Bukhari dan Muslim) dalam konteks kehidupan harian kita hari ini? Jika kita meneliti dan mengamati firman Allah dan sabda Rasul itu, sudah pasti kita punyai tanggungjawab besar dalam menjaga diri, terutama dalam menilai dan menghukum orang lain. Ini dapat dilihat antara ahli politik dengan lawan yang tidak sebumbung.

Setiap kebaikan langsung tidak didahului ucapan terima kasih dan syukur, namun lidah cepat mengambil peluang menghunus parti lawan dan menyebarkan kepada orang lain agar tidak terpedaya dengan kebaikan. Ditambah lagi mereka mengambil urusan Allah dengan mempertikaikan kebaikan dan pemberian itu hanyalah sebagai gimik, strategi mengaburi masyarakat.

Sebagai umat Islam, adab terbaik dan akhlak yang dianjurkan adalah dengan sentiasa berterima kasih dan bersyukur. Menjadi prinsip kita sebagai umat Islam agar bila diberi kita bersyukur, bila diuji kita bersabar.

Akhlak buruk sangka ini haruslah dijauhi, terutama sekali dalam urusan politik. Tidak kira daripada mana parti, perbuatan yang baik hendaklah diadili dan dinilai dengan sangkaan baik.

Buruk Sangka Sesama Agamawan

Di antara pakar agama juga kadangkala budaya sangkaan buruk ini juga terjadi. Lebih buruk lagi jika yang berada dalam iklim dan pentas politik. Semestinya setiap gerakan, perkataan dan tulisan akan dikaitkan dengan politik. Lalu muncullah kumpulan yang mampu ‘membaca’ hati manusia lain. Lagak mereka seperti ahli sufi yang seolah-olah bijak mentafsir dan menterjemahkan bicara dakwah orang lain.

Dituduh mereka ulama keji, ustaz yang dibeli dengan memfitnah bahawa mereka disogokkan sejumlah wang ringgit dan diakhiri dengan membangkitkan rasa benci pada pakar agama yang tidak sependapat dengan mereka.

Mengapa tiada sangkaan baik atas usaha dakwah dijalankan? Apa yang melucukan, apabila bahan disampaikan pakar agama kebetulan sama dengan pendapat parti mereka lalu pakar agama itu akan dijulang, mendapat puji-pujian, namun jika berlaku sebaliknya, pakar agama itu akan dihempuk tanpa belas kasihan. Peringatan ini Allah abadikan dalam ayatnya bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Al-Maidah : 8 )

Buruk sangka dan khianat mengenai fakta

Akibat buruk sangka tadi dan juga lidah tidak terurus, maka akan timbullah perpecahan dan permusuhan di antara umat Islam. Lebih buruk lagi, jika ia dipelopori di kalangan ahli politik dan pakar agama. Mereka membawa bicara dan berita untuk ditebarkan pada masyarakat lalu masyarakat menerima tanpa menilai fakta tersebut...