ANTARA peristiwa penting yang menjadi tumpuan untuk diimbau kembali setiap kali datangnya bulan Ramadan ialah Perang Badar. Peperangan ini berlaku dalam bulan Ramadan, pada tahun kedua Hijrah yang berlaku tanpa dirancang.
Tujuan sebenar Rasulullah SAW dan para sahabat pergi ke Badar bukannya untuk bertempur. Tetapi untuk mengambil semula harta umat Islam yang telah dirampas di Mekah.
Justeru, setelah baginda mengetahui rombongan kafilah yang dipimpin oleh Abu Sufyan sedang dalam perjalanan balik menuju Mekah dengan diiringi sekitar 40 orang, Rasulullah dan para sahabat seramai 313 orang telah keluar untuk mengambil kembali harta yang ditinggalkan di Mekah secara baik, tanpa perlu pertumpahan darah.
Pun begitu, perancangan Rasulullah dan para sahabat diketahui oleh Abu Sufyan dan rombongannya.
Lantas, Abu Sufyan segera menghantar utusan ke Mekah untuk menyampaikan maklumat, sekali gus meminta bantuan ketenteraan daripada masyarakat kafir Quraisy.
Sebagai menyahut seruan Abu Sufyan itu, Abu Jahal mengerahkan ketumbukan tentera yang berjumlah 1,300 orang dengan berkenderaan dan lengkap bersenjata.
Mereka keluar dari kota Mekah menuju ke lokasi peperangan dengan angkuh dan sombong sehingga telatah mereka itu digambarkan oleh Allah SWT. (rujuk al-Anfal: 47)
Angkuh dan sombong
Apabila sampai di Juhfah, sebuah tempat dalam perjalanan ke Badar, tentera Abu Jahal mendapat berita bahawa kafilah Abu Sufyan telah terselamat daripada serangan tentera Islam.
Namun, mereka tetap ingin meneruskan peperangan kerana angkuh dan sombong. Di sinilah berlakunya perpecahan di kalangan mereka sehingga menyebabkan 300 tentera Quraisy pulang semula ke Mekah.
Apabila Rasulullah mendapat perkembangan terbaru tentang kemaraan tentera Quraisy yang jumlah mereka jauh lebih besar daripada jumlah mereka, maka baginda meminta pandangan para sahabat, sama ada mereka ingin meneruskan peperangan atau tidak. Dalam majlis permesyuaratan ini, sahabat-sahabat terkemuka memberikan pandangan.
Antaranya ialah Abu Bakar r.a. dan Umar Al-Khattab r.a. Semuanya bersetuju supaya diteruskan peperangan tersebut. Kemudian pandangan mereka disusuli oleh Al-Miqdad bin Amru r.a yang menyatakan kebersamaan dengan Rasulullah SAW. Kemudian, baginda sekali lagi meminta pandangan daripada para sahabat.
Kemudian, bangunlah Saad bin Muadz menyampaikan ucapan dengan penuh semangat mewakili golongan Ansar. Beliau menyatakan persetujuan untuk bersama-sama Rasulullah dan sanggup melakukan pengorbanan demi Islam.
Maka, berlakulah peperangan di antara tentera Islam dan tentera musuh yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada tentera Islam dengan pertolongan daripada Allah SWT...
No comments:
Post a Comment