DALAM kehidupan ini, setiap apa yang kita laksanakan perlu dilakukan secara sempurna. Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak suka kepada individu yang melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa kerana ia tidak boleh mendatangkan hasil yang baik.
Sesuatu kerja yang tidak lengkap dan sempurna pastinya mempunyai nilai yang rendah di mata masyarakat. Sebagai manusia yang telah dikurniakan Allah SWT dengan Islam, kita mestilah melaksanakan Islam dengan sempurna.
Kegagalan berbuat demikian tentunya akan dianggap sebagai tidak menghargai pemberian nikmat beragama sebagai nikmat terbesar dan ternilai dalam kehidupan kita.
Islam seumpama sebuah rumah yang lengkap dan sempurna. Kita diperintahkan untuk membina rumah yang lengkap mengikut spesifikasi dan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Islam yang tidak lengkap adalah seumpama sebuah rumah tanpa dinding atau bumbung. Walaupun ia adalah rumah, namun tidak dapat dimanfaatkan dek kerana belum sempurna. Bahkan, dengan ketidaksempurnaan itu, ia langsung tidak diiktiraf sebagai rumah.
Dalam kerangka inilah, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya melaksanakan Islam secara keseluruhannya. (rujuk al-Baqarah: 208)
Setiap kali datangnya bulan Ramadan, seringkali kita dipaparkan dalam berita tentang tangkapan segelintir umat Islam yang tidak berpuasa. Yang terbaru ialah seorang warga emas ditangkap kerana tidak berpuasa dan tanpa segan silu bersarapan di hadapan khalayak ramai. Kita yang menyaksikannya menggelengkan kepala tanda meluat, geram dan jijik dengan angkara tersebut.
Mungkin juga kita pelik dan hairan dengan sikap mereka yang mengaku beragama Islam, namun tidak mahu berpuasa. Keingkaran melakukan fardu puasa ini seolah-olah berita sensasi yang menjadi rutin biasa bulan Ramadan, terutamanya apabila adanya tangkapan yang dibuat pihak berkuasa.
Namun, sebenarnya pelanggaran syariah secara terbuka bukan sahaja berlaku pada bulan Ramadan. Orang yang melakukan maksiat tidak terhenti kepada mereka yang tidak berpuasa sahaja, namun turut terkena kepada mereka yang mengingkari ibadah-ibadah yang lain.
Maka, kenapa kita hanya mengkhususkan tindakan tersebut kepada puasa sahaja? Kenapa tidak kepada ibadah-ibadah yang lain seperti solat?
Dewasa ini terdapat segelintir orang Islam yang sanggup meninggalkan solat secara terbuka. Lihat sahaja mereka yang terus-menerus leka dengan berniaga walaupun jemaah di masjid sedang melakukan solat Jumaat.
Bahkan, yang menambahkan kehairanan kita ialah terdapatnya yang berpuasa di bulan Ramadan, tetapi tetap enggan melakukan solat atau sewenang-wenangnya meninggalkan solat ketika sibuk dengan urusan dunianya. Bukankah ini merupakan sebuah kepincangan dalam beragama?
Antara faktor suasana ini berlaku ialah disebabkan krisis kefahaman tentang kesyumulan Islam. Kedangkalan ilmu dalam diri ditambah pula dengan sikap ego serta sombong, akhirnya menjadikan golongan ini tetap dalam keadaan serba-salah dalam kehidupan beragama.
Faktor lain ialah adanya tanggapan bahawa ibadah hanyalah tidak ubah seperti adat. Oleh kerana majoriti orang ramai di sekelilingnya berpuasa, maka dia juga berpuasa. Jika ramai yang berkunjung ke masjid atau surau untuk mendirikan solat hari raya, maka dia pun menyertai mereka. Walaupun kakinya hanya menjejakkan kaki ke masjid atau surau tersebut di kala hari raya sahaja...
No comments:
Post a Comment