ALHAMDULILLAH,
saya merafakkan kesyukuran kepada Allah, kerana dengan izinnya sekali lagi dapat mengemukakan sebuah artikel berkaitan dengan permasalahan haji.
Haji yang merupakan puncak kepada umat Islam diwajibkan sekali seumur hidup perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar diterma oleh Allah SWT. Berdasarkan pengalaman asatizah dan mutawif haji, bakal-bakal haji amat perlu kepada bimbingan daripada guru agar sah dan benar ibadat hajinya.
Saya meminjam kata-kata Imam Nawawi dalam mukadimah dalam kitabnya al-Idhah supaya mempelajari dan menuntut ilmu agar haji yang dilakukan benar-benar menepati kehendak yang telah ditetapkan. Antara lain katanya, apabila seseorang hendak melaksanakan ibadat haji, menjadi kewajipan baginya untuk belajar tentang cara pelaksanaannya.
Hukumnya adalah fardu ain kerana tidak sah satu-satu ibadat bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya. Sunat membawa bersamanya kitab yang menjelaskan berkenaan ibadat haji yang mengumpul segala matlamatnya. Dia hendaklah sentiasa mentelaah dan mengulangkaji pelajaran di dalam masa perjalanannya supaya dapat mentahqiqkan disisinya.
Sesiapa yang mencacatkan atau mengabaikan hal ini dibimbangi kemungkinan pulang tanpa mendapat haji yang mabrur.
Ini kerana kecacatannya dengan mana-mana perihal haji atau rukunnya atau seumpamanya. Boleh jadi orang ramai bertaqlid dengan sebahagian awam penduduk Mekah dan sangkaan mereka bahawa mereka amat mahir berkenaan manasik haji. Sebenarnya mereka telah terpedaya, yang demikian itu ia merupakan kesilapan yang nyata lagi keji.
Hal ini berdasarkan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-27 Musim Haji 1432H memutuskan supaya pembimbing ibadat haji menelaah semua Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang telah diputuskan dengan muktamad dan rujukan bimbingan haji cetakan terkini.
Setiap perjalanan manasik haji mempunyai hukumnya dan kepatuhan kepada sunah nabi SAW amat penting supaya ia benar-benar menepati mengikut kaedah syarak yang sebenar.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ambillah daripadaku ibadat haji kamu kerana aku tidak pasti sama ada aku bertemu denganmu selepas tahun ini."
Oleh kerana isu ini selalu dipersoalkan, maka amat wajar kita menekuninya dengan cara mempelajari hukum-hakam yang berkaitan melalui kursus intensif haji, kursus asas haji dan daripada guru yang bertauliah benar-benar memahami hakikat ibadat haji.
Sebolehnya biarlah permasalahan dan hukum-hakam haji bagi rakyat Malaysia diselaraskan melalui Muzakarah Tabung Haji yang telah diputuskan saban tahun.
Dengan keselarasan sudah pasti isu-isu yang timbul dapat diberi jawapan yang seragam dan tepat.
Seperkara lagi, elakkan daripada mengumpul pelbagai pendapat dalam satu-satu masalah sehingga melangkaui mazhab-mazhab lain yang sudah pasti menyukarkan seseorang untuk menentukan mana pendapat yang wajar dipilih kerana orang awam lebih kepada taqlid semata-mata.
Imam Nawawi sejak awal lagi memberi peringatan supaya jangan mengambil sebarang pendapat atau ikutan kecuali dengan benar-benar adanya asas nas dan dalil yang menepati kehendak syariat.
Buku yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji cetakkan terkini amat sesuai ditelaah termasuk soal jawab yang telah dibuat penapisan oleh Jawatankuasa Khas. Sebelum saya mengakhiri perbincangan berkenaan permasalahan haji yang sepatutnya difahami.
Hendaklah jemaah haji memelihara beberapa pantang larang agar ia benar-benar mengikut manasik haji yang sahih
WAJIB HAJI
Terdapat enam perkara wajib haji iaitu;
1. Niat ihram di Miqat
Niat ihram di miqat adalah wajib haji yang pertama. Bakal haji hendaklah berniat ihram untuk mengerjakan haji. Niat tersebut hendaklah dilakukan di miqat. Berniat ihram di Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram, sama ada haji atau umrah.
Jenis-jenis Miqat - Miqat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu miqat Zamani dan miqat Makani.
Miqat Zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijjah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan-bulan haji.
Miqat Makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram.
Jemaah haji yang memasuki Madinah dan akan menunaikan umrah ke Mekah berniat ihram di Bir Ali atau Zul Hulaifah. Bagi jemaah haji yang masuk terus ke Mekah dari Malaysia akan berniat ihram di Qarnul Manazil lebih kurang satu jam sebelum mendarat di Jeddah.
2. Meninggalkan larangan semasa dalam ihram
Meninggalkan larangan semasa dalam ihram bermaksud setelah jemaah haji berniat ihram, sama ada haji atau umrah maka ditegah melakukan 13 Larangan Ihram, sekiranya melakukan perkara tersebut maka dikenakan dam menurut syarat-syaratnya. Sekiranya dilakukan juga dengan sengaja maka ia berdosa.
3. Mabit di Muzdalifah
Mabit di Muzdalifah bermaksud berada di Muzdalifah selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh). Sebaik-baiknya jemaah haji berada sepanjang malam di Muzdalifah sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Jemaah haji digalakkan supaya bertalbiah sebanyak-banyaknya dan memuji Allah SWT.
Sah dan dikira telah mabit bagi jemaah haji yang mendiami bumi Muzdalifah walau berada seketika. Jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah setelah berwukuf di Arafah selepas Asar atau Maghrib mengikut jadual yang ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi. Jarak dari Arafah ke Muzdalifah lebih kurang tujuh kilometer.
Di sinilah kemuncak ujian sebenar bagi bakal-bakal haji. Bakal-bakal haji perlulah memperbanyakkan bersabar, berzikir mengingati Allah dan reda dengan ketentuan-Nya.
Setelah bermabit di Muzdalifah jemaah haji akan bertolak pula ke Mina. Jemaah akan dibawa ke sana dengan menaiki bas. Jarak antara Muzdalifah ke Mina lebih kurang 6.9 kilometer.
4. Mabit di Mina
Mabit di Mina bermaksud berada di Mina pada malam-malam hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Jemaah haji yang melaksanakan Nafar Awwal akan bermabit pada 11 dan 12 Zulhijjah manakala bagi jemaah haji yang melaksanakan Nafar Thani akanbermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
5. Melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah
Melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra merupakan amalan yang perlu dilakukan oleh jemaah haji pada 10 Zulhijjah. Ia merupakan penghormatan bagi Mina.
Masa untuk melontar di Jamrah Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah selepas bertolak dari Muzdalifah dan sampai di perkhemahan Mina. Kebiasaannya jemaah haji akan mula melontar keesokan harinya bergantung kepada jadual yang dikeluarkan oleh pihak Muasasah Tawwafah Asia Tenggara.
6. Melontar anak batu di tiga Jamrah
Melontar anak batu di tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra (dahulu dikenali sebagai Ula) Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra (dahulu dikenali sebagai Jamrah Aqabah). Masuk waktu melontar adalah selepas azan Subuh sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
Demikianlah enam wajib haji yang perlu diketahui oleh setiap jemaah haji. Meninggalkan mana-mana daripada wajib haji ini dengan sengaja mengakibatkan kita dikenakan dam serta berdosa. Bukanlah Allah SWT itu berhajat kepada dam atau bayaran fidyah itu tetapi takwa dan taqarrub daripada hamba-Nya...
No comments:
Post a Comment