MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Thursday, July 24, 2025

MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS

LANGKAH DATO SRI ANWAR MENYELAMTKAN NEGARA,



“SAAT kau ghairah menggapai yang sempurna, kau akan kehilangan yang terindah. Tiada siapa yang sempurna di dunia, hargailah setiap yang ada di depan mata," demikian mutiara sebuah kata yang wajar kita renung bersama.

Tatkala kita terlalu mengharap yang sempurna, jangan sampai terlupa mensyukuri yang indah di hadapan mata. Hidup bukan tentang mencari tanpa henti, tetapi tentang menyantuni yang sudah diberi - dengan iman dan keikhlasan. Begitu jugalah dengan politik dan kepimpinan. Dalam keterdesakan zaman, kita cenderung memburu yang ‘ideal’ hingga lupa pemimpin yang sedang bersungguh membina daripada akar.

Dalam hidup ini, kita selalu terperangkap oleh bayangan kesempurnaan. Kita impikan pasangan yang ideal, pekerjaan yang sempurna, kehidupan yang tiada cacat celanya.

Namun kesempurnaan itu selalunya hanyalah fatamorgana - makin dikejar, makin jauh ia pergi. Dan lebih malang lagi, dalam keghairahan itu, kita lupa bahawa yang terbaik sering kali hadir dalam bentuk yang tidak kita duga - tenang, sederhana, tidak sempurna, tetapi ikhlas dan bersungguh.

Begitu juga dalam medan kepimpinan. Kita impikan seorang pemimpin yang tidak pernah silap, tidak pernah menyinggung, tidak pernah buat keputusan yang memerlukan pengorbanan rakyat. Kita mahu yang petah bicara, lunak di mata, dan menyenangkan telinga.

Namun sejarah tidak pernah ditulis oleh pemimpin yang menyedapkan hati semua orang. Sejarah dibina oleh mereka yang berani melawan arus demi prinsip, dan disempurnakan oleh rakyat yang percaya dan setia kepada nilai yang dibawa.

Lihatlah pada wajah-wajah pemimpin agung dunia - Nelson Mandela tidak sempurna. Malah hidupnya dipenuhi dengan pertentangan, penjara, dan keputusan yang tidak popular.

Tetapi dengan sokongan dan dukungan rakyat Afrika Selatan yang tidak berbelah bahagi itulah yang menyempurnakan perjuangannya menjadi legenda dunia.

Begitu juga Winston Churchill - bukan pemimpin yang disenangi semua pihak, tetapi tekad dan kesediaannya untuk mengambil risiko menyelamatkan maruah Britain.

Di Malaysia hari ini, kita berada di persimpangan. Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah pemimpin yang sempurna. Tetapi ketika ramai memilih jalan populis dan selamat, beliau memilih jalan sukar - merombak subsidi boros, menghapus projek rundingan terus, membuka pintu tender telus, menstruktur semula kewangan negara.

Semua ini bukan langkah memenangi hati rakyat, tetapi menyelamatkan negara. Dalam melaksanakan perubahan, kebijaksanaan kepimpinan sangat diperlukan kerana jika perubahan dilakukan terlalu laju negara boleh tersungkur, jika terlalu lambat negara akan ketinggalan.

Namun, dalam zaman media sosial dan algoritma kemarahan, kita lebih mudah menekan butang celaan daripada menilai dengan hikmah. Kita lupa bahawa tidak ada pemimpin yang akan kelihatan sempurna dalam tempoh yang singkat.

Yang diperlukan adalah thiqah - kepercayaan tulus bahawa seorang pemimpin yang jujur, berprinsip dan bekerja keras patut diberi ruang, bukan dihakimi berdasarkan naratif lawan yang belum tentu punya niat membina.

Ketika kita ghairah mencari pemimpin sempurna, kita sebenarnya sedang kehilangan pemimpin yang terbaik. Kerana pemimpin terbaik selalunya tidak datang dengan gemerlapan janji, tetapi dengan kejujuran tindakan yang kadang-kala menyakitkan tetapi menyembuhkan.

Inilah paradoksnya: Kesempurnaan seorang pemimpin bukan terletak pada siapa dia, tetapi pada sejauh mana rakyat menyempurnakannya dengan thiqah.

Pemimpin hebat tidak akan mampu melakar sejarah jika rakyat di belakangnya retak dengan curiga, terpalit dengan hasad, dan mabuk dengan emosi politik.

Maka tibalah masanya untuk kita, sebagai rakyat, membezakan antara tuntutan dan tanggungjawab. Kita boleh menuntut kesempurnaan, tetapi lebih bijak jika kita menjadi sebahagian daripada proses penyempurnaan itu - dengan menyumbang thiqah, sokongan dan doa.

Bukankah Rasulullah SAW sendiri pun pernah ditegur oleh ALLAH dalam beberapa peristiwa? Bukankah sahabat Baginda sentiasa melengkapkan kepimpinannya dengan setia dan pengorbanan?

Thiqah bukan ketaksuban, ia adalah kepercayaan yang lahir daripada ilmu, nilai dan kesedaran. Ia bukan membisu terhadap salah, tetapi bersabar dalam proses.

Ia bukan buta terhadap kelemahan, tetapi meyakini jalan yang sedang diusahakan. Akhirnya, pertanyaan ini perlu berputar kembali ke dalam diri kita:

Adakah kita sedang mencari pemimpin sempurna, atau sedang menolak pemimpin terbaik kerana terlalu asyik menagih bayang? Adakah kita sedang membantu menyempurnakan kepimpinan negara ini, atau sekadar menjadi pengkritik yang tidak pernah puas?

No comments: