MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Wednesday, August 15, 2012

AMARAN DAN CELAAN


Daripada Abu Hurairah katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain).

Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan pada waktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah menutupinya, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku melakukan begini dan begini’. Orang itu semalaman ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amaran dan celaan daripada Rasulullah SAW terhadap orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosanya kepada orang lain.



Orang Islam yang terlanjur melakukan dosa dilarang membuat hebahan supaya diketahui orang lain dan dinasihatkan bertaubat kepada Allah SWT.

Melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya menunjukkan seseorang itu memandang remeh dan memperkecilkan agama, merendah-rendahkan hak Allah dan Rasulnya serta golongan salih. 


Sementara itu, bagi mereka yang melakukan kejahatan, jangan pula kita menghina mereka seperti sabda Nabi SAW: “Apabila seorang hamba perempuan melakukan zina dan telah nyata zinanya maka sebatlah ia (dengan 50 kali sebatan) tetapi janganlah menghinanya (dengan kata-kata kesat), kemudian jika dia berzina lagi (buat kali keduanya), maka sebatlah dia tetapi janganlah menghinanya. Kemudian jika dia berzina lagi buat kali ketiganya, maka juallah dia sekalipun dengan seutas tali daripada bulu (haiwan).”(Riwayat Bukhari dan Muslim) 


Islam mengajar umatnya tidak menghina seseorang sekalipun dia telah melakukan perbuatan yang buruk. 


Kita disuruh memisahkan diri daripada golongan maksiat atau memulaukan mereka supaya tidak bergaul dan bermuamalat dengan mereka.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba di dunia melainkan Allah menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim) 


Islam mengajar umatnya tidak mendedahkan keburukan seseorang. Sesiapa yang menutup keburukan saudaranya nescaya Allah menutup keburukannya pada hari kiamat kerana ganjaran sesuai dengan amalan dilakukan.

No comments: