TERSENYUM sendiri mendengar beberapa anak-anak menyanyi lagu 1Malaysia - 'Kita Satu Bangsa, Satu Negara, Kita Satu Matlamat.. ooo, Kita Satu Bangsa, Satu Negara, 1Malaysia' - tapi terpinar sebentar mengingatkan baru dua minggu kita meninggalkan majlis gilang gemilang meraikan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-55, dan hanya enam hari saja lagi kita akan menyambut pula Hari Malaysia yang ke-49.
Entah mengapa, Hari Kemerdekaan ke-55 dirasakan amat penting untuk diperingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Tarikh 31 Ogos mengingatkan kita mengenai betapa pentingnya membebaskan diri dari penjajahan, tapi kali ini ia disambut dengan sulaman rasa bimbang, resah, gelisah dan risau memikirkan masa depan negara tercinta ini.
Nyata kebimbangan di hati berasas. Selama ini kita meraikan hari merdeka dengan suasana santai, jika di Kuala Lumpur, ramai akan keluar bersama teman, sahabat dan kaum keluarga untuk bersama warga kota lain menunggu jam 12 malam di Dataran Merdeka atau KLCC untuk melaungkan perkataan 'Merdeka' sebelum 'bunga api' diledakkan menghiasi indah kegelapan malam ibu negara, Namun, kali ini elemen politik melampau mencemari suasana.
Rasanya tidak pernah lagi ada rakyat yang sanggup mengaibkan pemimpin negara dengan memijak dan 'membontotkan' mereka pada malam Hari Kemerdekaan. Tapi kali ini muncul kumpulan rakyat yang membawa perasaan tidak puas mereka, bukan saja sengaja membuat onar di khalayak ramai, bahkan mempamerkan sikap yang amat mengaibkan sehingga memalukan ibu bapa dan bangsa sendiri.
Ideologi politik kebencian yang disemai kumpulan pembangkang, kini semakin menular dan sekiranya tidak dibendung boleh membawa padah yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan negara.
Di kala rakyat perlu diperkukuhkan rasa cintakan negara, membangkitkan semangat setiakawan dan mempamerkan nilai Satu Malaysia yang sebenar, kumpulan ini mempamerkan satu budaya yang bakal menjadi ikutan generasi akan datang. Adakah ini budaya yang dimahukan pembangkang yang meletakkan cita-cita politik amat tinggi untuk memenangi pilihan raya akan datang.
Sokongan dan galakan mereka dalam mewujudkan kumpulan penentang seperti ini bakal memakan diri sendiri, sekiranya ditakdirkan mereka berjaya mencapai impian menawan Putrajaya.
Parti pembangkang mesti ingat tindakan mereka menggalakkan rakyat berdemonstrasi dan bersikap biadab terhadap pemerintah setiap kali ada yang tidak bersetuju, boleh menjadi 'senjata yang memakan tuannya sendiri' satu hari nanti.
Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, dengan gah mendeklamasi sajak 'Janji Demokrasi' sebagai tanda tidak puas hati dengan kerajaan Barisan Nasional (BN.)
Sebagai rakyat yang cintakan keamanan, kita tertanya-tanya apakah 'Janji Demokrasi' yang dimahukan kumpulan ini. Tidakkah Malaysia mengamal sistem demokrasi yang semakin telus.
Apa yang tidak dilakukan kerajaan BN hari ini, selain daripada menurut 'kehendak' golongan yang tidak pernah surut daripada mengkritik dan mengadu-domba.
Sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih pemerintahan Kerajaan BN empat tahun lalu, beliau telah melakukan segala yang termampu untuk memperbaiki kelemahan dan kelonggaran sistem pentadbiran negara selama ini. Dalam tempoh empat tahun ini sudah terlalu banyak yang dilakukan dan terlalu banyak kehendak yang dituruti, sehingga beliau sendiri dikritik teruk bukan saja ahli parti, malahan semua yang menyayangi BN.
Menyedari betapa terhakisnya semangat setiakawan di kalangan warga Malaysia hari ini dan dengan tekad untuk mengembalikan semangat cintakan negara dan menyemai semula nilai patriotisme di kalangan kita, Najib tidak berkira apabila dicadangkan untuk mengadakan dua acara berlainan untuk memastikan kemeriahan meraikan ulang tahun merdeka ke-55 dirasai setiap pihak.
Upacara biasa perbarisan di Dataran Merdeka dilaksanakan dengan begitu gemilang pada pada 31 Ogos, tapi tahun ini ditambah dengan sambutan pada sebelah malam yang lebih meriah bersama lebih 150,000 rakyat. Ini satu pencapaian terbaik dan tanda sokongan rakyat kepada kepemimpinan kerajaan di bawah Najib. Sokongan daripada penaja untuk memeriahkan acara dengan cabutan bertuah adalah satu gandingan yang baik antara sektor swasta, agensi kerajaan dan rakyat keseluruhannya.
Tidak payahlah sesiapa mengkritik persediaan yang dilakukan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, terutama Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, jika ia sekadar membabitkan logo ulang tahun ke-55 ataupun lagu, kerana ia hanya satu elemen kecil daripada keseluruhan persediaan yang memerlukan kerjasama dan kerja keras daripada semua pihak untuk menjayakan. Ia kritikan yang sengaja dibuat-buat.
Tiada apa yang perlu dikritik mengenai logo itu, cuma mereka terbawa-bawa dengan kritikan tidak membina tanpa mendengar alasan yang diberikan. Logo rasmi ialah logo 1Malaysia dan perkatakaan Merdeka 55 Tahun: Janji Ditepati. Buatlah apa bentuk berdasarkan logo dan perkataan itu. Tampallah di Facebook atau di mana saja yang digemari, bukan dicaci dan maki.
Beberapa orang kanannya berkata, Dr. Rais hanya memberi satu arahan: "Semua yang terbabit perlu membuat yang terbaik. Ini sumbangan kita kepada negara yang dicintai."
Tidak ada siapa boleh menafikan dalam memastikan majlis dirancang dilaksanakan dengan sempurna, Dr. Rais sendiri turun padang dan memberi semangat kepada setiap yang membantu untuk memastikan acara berlangsung tanpa sebarang halangan. Malahan, 'kumpulan kuning' daripada golongan penentang kerajaan turut dipastikan dapat merasai kemeriahan yang wajar dinikmati setiap warga.
Rasanya selepas lebih lima tahun hidup dalam gelombang politik yang tidak menentu, setiap rakyat Malaysia dapat merasa betapa pentingnya kemerdekaan yang kita kecapi selama ini. Kerana itu dalam meraikan kemerdekaan ke-55 ini, bukan saja ruang media massa, malahan laman siber - baik Facebook, Twitter, blog atau portal - lebih sibuk dan meriah dengan ucapan 'selamat hari merdeka'.
Terasa suasana kali ini cukup luar biasa, kerana dalam meraikan kemerdekaan terselit kebimbangan... itu yang membuatkan setiap warga mahu mengembali semangat cintakan negara yang semakin terhakis di jiwa masing-masing.
Mengikut perangkaan, tweet merdeka saja mencatat angka lebih 3.5 juta mesej yang galak berinteraksi dengan Perdana Menteri. Itu belum lagi tweet sesama sendiri, kibaran Jalur Gemilang di laman siber.
Kemeriahan ini perlu diteruskan atas dasar semangat cintakan Malaysia. Bintulu sudah menunggu tetamu untuk meraikan Hari Malaysia pada 16 September ini. Jalur Gemilang perlu diterus dikibarkan di rumah dan pejabat.
Majoriti rakyat sudah penat melihat kemelut dan drama yang dicetuskan ahli politik. Ramai sudah mula bertanya sampai bila golongan ini mahu menyemai rasa bimbang dan gusar di hati, mereka rindukan Malaysia yang aman dan damai, serta semangat setiakawan yang semakin pudar di kalangan sahabat pelbagai bangsa.
Adakah kita mahu tunduk kepada golongan yang sentiasa mencari kesalahan dan menggalakkan kita serta anak-anak ke gelanggang demonstrasi? Adakah kita mahu pemimpin yang menggalakkan anak-anak kita bersikap biadab dan kurang ajar terhadap pemimpin.
Soalan kita kepada kumpulan pembangkang pula - apakah ini budaya yang mahu mereka terapkan kepada warga Malaysia? Apakah ini sikap dan amalan yang ingin kita semaikan di kalangan generasi muda? Jika sebelum menjadi pemerintah sudah menggalakkan anak-anak menjadi kurang ajar, kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka ditakdirkan menjadi pemerintah satu hari nanti.
Malaysia sudah 55 tahun merdeka dan terasa aib apabila muka depan akhbar perdana tersiar gambar anak-anak kita memijak gambar pemimpin. Jika ini dibiarkan, tidak dapat dibayangkan apa yang bakal dilakukan anak-anak generasi ini apabila kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-100 nanti!
No comments:
Post a Comment