KEDUDUKAN semua insan di sisi Allah SWT adalah sama, hanya yang membezakan adalah ketakwaan dan keimanan seseorang.
Begitu jua Allah SWT turut memberi jaminan akan mengampunkan dosa hamba-hambanya asalkan mereka bertaubat kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat.
Sebagai manusia, pastinya tidak akan lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan akibat kelalaian dan kealpaan diri terhadap Pencipta kita.
Apa yang pasti, apabila sampai waktunya dan mendapat pula hidayah daripada Allah SWT, insan-insan ini akan pulang semula ke pangkal jalan.
Ini yang terjadi terhadap sekumpulan wanita dari Rumah Sinar Salam, yang telah mendapat hidayah dan petunjuk daripada Allah SWT dengan meninggalkan kehidupan masa lalu yang penuh kegelapan dan diberi rezeki pula untuk menjejakkan kaki ke Mekah mengerjakan umrah atas tajaan individu prihatin.
Ini membuktikan sesiapa sahaja boleh bertaubat dan mencari keredaan di sisi Tuhan biarpun pada masa lalu bergelumang dalam kancah maksiat.
Bercakap mengenai Rumah Sinar Salam, pastinya tidak akan lari daripada menyoroti kisah-kisah penghuninya yang terjebak dengan gejala sosial.
Sebutlah apa sahaja kegiatan sosial - persundalan, najis dadah, buang anak, anak luar nikah dan sebagainya merupakan sebahagian daripada jenayah sosial yang dilakukan oleh penghuni-penghuninya yang kini menumpang teduh di rumah itu bagi mendapatkan sinar.
Menurut Pengasas Rumah Sinar Salam, Arfidah Abd. Latif, 58, ramai penghuni Rumah Sinar Salam ini sudah mendapat hidayah Allah SWT dan berjaya keluar dari kemelut sosial selepas aktiviti outreach (temu seru) dilakukan terhadap mereka.
''Ramai yang terbuka hati untuk bertaubat. Biarpun mungkin masih janggal pada mata masyarakat akibat cara kehidupan masa lalu namun saya berdoa agar kami semua para penghuni di sini masih ada tempat di sisi Allah.
''Itu yang kami cari selama ini iaitu rahmat Tuhan. Kadangkala kami turut tertanya-tanya apakah dosa kami yang lalu akan diampunkan Allah. Begitu juga adakah taubat kami ini akan diterima oleh-Nya, kerana kesan-kesan kehidupan masa lalu yang amat gelap dan jijik," katanya.
Dia yang ditemani tiga lagi rakannya ditemui di pejabat I Umrah Rakyat Sdn. Bhd., di Rampai Town Centre, Taman Seri Rampai, Kuala Lumpur, iaitu agensi umrah di bawah Syarikat Fayrooz Travel And Marketing Sdn. Bhd., yang ditubuhkan berlandaskan kebajikan dengan memberi peluang kepada masyarakat yang kurang mampu mengerjakan umrah dengan sebahagian kosnya dibiayai oleh agensi ini.
Sementara itu, rata-rata kebanyakan daripada bekas penghuni yang terpilih untuk mengerjakan umrah ini telah pun berkeluarga dan sekarang menjadi sukarelawan membantu 'menarik' insan-insan senasib ke pangkal jalan.
Tambah Arfidah lagi, niat untuk mengerjakan ibadah dan mengunjungi rumah Allah ini telah lama terbuku dalam jiwa penghuni.
Namun masing-masing tidak mampu menyuarakannya memandangkan ketiadaan wang dan 'malu' dengan keterlanjuran mereka yang telah lalu menyebabkan mereka rasa tidak layak menjejakkan kaki ke 'rumah' Allah itu.
''Selalunya kami hanya melihat di televisyen cerita mengenai insan-insan yang berkesempatan untuk ke sana mengerjakan haji dan umrah.
''Kami tidak menyangka, berkat doa kami yang tidak berkesudahan, suara hati kami yang sentiasa mahu kembali ke jalan yang lurus, kami akhirnya dapat juga menjejakkan kaki ke rumah Allah tidak lama lagi dengan ihsan I Umrah Rakyat di bawah Program Umrah Rakyat," katanya yang turut tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada penulis yang sanggup berusaha mencari dan menemukan penaja ini bagi mereka.
No comments:
Post a Comment