MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Friday, August 17, 2012

WAJIB NAIK HAJI/FALSAFAH HAJI



IBADAT Haji adalah satu kefarduan yang ditaklifkan kepada mereka yang telah cukup syarat-syarat wajib menunaikan haji. Jumhur ulama telah sepakat akan kewajipan ini dan menjadi kufur orang yang ingkar akan kewajipan mengerjakannya.
Terdapat enam perkara wajib haji iaitu;
1. Niat ihram di Miqat
Niat ihram di miqat adalah wajib haji yang pertama. Bakal haji hendaklah berniat ihram untuk mengerjakan haji. Niat tersebut hendaklah dilakukan di miqat. Berniat ihram di Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram, sama ada haji atau umrah.
Jenis-jenis Miqat - Miqat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu miqat Zamani dan miqat Makani.
Miqat Zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijjah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan-bulan haji.
Miqat Makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram.
Jemaah haji yang memasuki Madinah dan akan menunaikan umrah ke Mekah berniat ihram di Bir Ali atau Zul Hulaifah. Bagi jemaah haji yang masuk terus ke Mekah dari Malaysia akan berniat ihram di Qarnul Manazil lebih kurang satu jam sebelum mendarat di Jeddah.
2. Meninggalkan larangan semasa dalam ihram
Meninggalkan larangan semasa dalam ihram bermaksud setelah jemaah haji berniat ihram, sama ada haji atau umrah maka ditegah melakukan 13 Larangan Ihram, sekiranya melakukan perkara tersebut maka dikenakan dam menurut syarat-syaratnya. Sekiranya dilakukan juga dengan sengaja maka ia berdosa.
3. Mabit di Muzdalifah
Mabit di Muzdalifah bermaksud berada di Muzdalifah selepas separuh malam 10 Zulhijjah hingga sebelum terbit fajar (masuk waktu Subuh). Sebaik-baiknya jemaah haji berada sepanjang malam di Muzdalifah sambil bertasbih, bertahmid dan bertakbir. Jemaah haji digalakkan supaya bertalbiah sebanyak-banyaknya dan memuji Allah SWT.
Sah dan dikira telah mabit bagi jemaah haji yang mendiami bumi Muzdalifah walau berada seketika. Jemaah haji akan mula bergerak ke Muzdalifah setelah berwukuf di Arafah selepas Asar atau Maghrib mengikut jadual yang ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi. Jarak dari Arafah ke Muzdalifah lebih kurang tujuh kilometer.
Di sinilah kemuncak ujian sebenar bagi bakal-bakal haji. Bakal-bakal haji perlulah memperbanyakkan bersabar, berzikir mengingati Allah dan reda dengan ketentuan-Nya.
Setelah bermabit di Muzdalifah jemaah haji akan bertolak pula ke Mina. Jemaah akan dibawa ke sana dengan menaiki bas. Jarak antara Muzdalifah ke Mina lebih kurang 6.9 kilometer.
4. Mabit di Mina
Mabit di Mina bermaksud berada di Mina pada malam-malam hari Tasyrik iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Jemaah haji yang melaksanakan Nafar Awwal akan bermabit pada 11 dan 12 Zulhijjah manakala bagi jemaah haji yang melaksanakan Nafar Thani akanbermabit pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
5. Melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra pada 10 Zulhijjah
Melontar tujuh biji anak batu di Jamrah Kubra merupakan amalan yang perlu dilakukan oleh jemaah haji pada 10 Zulhijjah. Ia merupakan penghormatan bagi Mina.
Masa untuk melontar di Jamrah Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah selepas bertolak dari Muzdalifah dan sampai di perkhemahan Mina. Kebiasaannya jemaah haji akan mula melontar keesokan harinya bergantung kepada jadual yang dikeluarkan oleh pihak Muasasah Tawwafah Asia Tenggara.
6. Melontar anak batu di tiga Jamrah
Melontar anak batu di tiga jamrah iaitu Jamrah Sughra (dahulu dikenali sebagai Ula) Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra (dahulu dikenali sebagai Jamrah Aqabah). Masuk waktu melontar adalah selepas azan Subuh sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah.
Demikianlah enam wajib haji yang perlu diketahui oleh setiap jemaah haji. Meninggalkan mana-mana daripada wajib haji ini dengan sengaja mengakibatkan kita dikenakan dam serta berdosa. Bukanlah Allah SWT itu berhajat kepada dam atau bayaran fidyah itu tetapi takwa dan taqarrub daripada hamba-Nya...

FALSAFAH HAJI


PANGGILAN haji tiba lagi, gamitan talbiah dengan begitu mekar dalam ingatan bakal haji, dhuyufurrahman amat kuat menusuk kalbu. Sebermula dengan panggilan surat terima, sudah membawa seribu satu macam kesukaan telah terukir pada raut wajah jemaah haji. Habis keluarga, rakan taulan diuar-uarkan, bukan sekali tetapi itulah yang dikhabarkan setiap kali bertemu. Semuanya ini sebagai terjemahan gembira yang berbaur syahdu dalam melaksanakan ibadah haji.
Pada ruangan kali ini, penulis ingin mengemukakan sejumlah falsafah ibadat haji, serta hikmahnya, berdasarkan pengamatan dan sedikit pengalaman yang dikongsi bersama oleh tetamu Allah yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah. Antaranya;
Bermulanya kehambaan
Hal ini jelas dirasakan oleh bakal jemaah haji, inilah puncak penyerahan kepada Yang Maha Esa. Segala tugas hakiki dan wajib dalam semua lapangan seperti pegawai kerajaan, guru, pekerja swasta hatta nelayan terpaksa dengan rela hati meninggalkan tugas tersebut kerana menyahut panggilan Ilahi.
Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang melambangkan penyerahan sebagai seorang hamba kepada Khaliqnya. Hal ini sentiasa dirasakan bermula daripada langkahan pertama keluar dari rumah hingga pulang bertemu sanak saudara dan masuk ke dalam rumah.
Mengikut cara Islam keluarnya seseorang hamba Allah menuju kepada Allah dalam melaksanakan ibadah haji bermula dengan solat musafir di rumah dan apabila kembali juga dengan bersolat mengikut sunah Rasulullah SAW.
Menzahirkan Kecintaan
Hal ini dipamerkan oleh ramai dan hampir kesemua jemaah haji. Ia merupakan perasaan rindu dan cinta kepada Mekah dan Madinah sekalipun berlaku kerap kali dalam melaksanakan ibadah haji oleh seseorang. Benarlah kenyataan yang dibuat oleh Syeikh Waliyullah al-Dehlawi dalam kitabnya yang masyhur, Hujjatullah al-Baligah.
Seorang ulama Syafie yang terkenal pada zaman dahulu iaitu Imam al-Nawawi menukilkan dalam karyanya, Al-Idhah Fil Manasik al-Haji Wal Umrah antara lain menyebut seorang wanita apabila sampai ke Kota Mekah mulutnya selalu menyebut mana rumah tuhanku, kemudian ditunjukkan ke Kaabah lantas ia berlari dan bergantung pada sitar (kelambu) Kaabah dan selepas itu beliau jatuh menggelonggsor mati di kaki Kaabah.
Memaknakan erti kehidupan
Ketika berkelana, mereka dapat menyaksikan manfaat-manfaat haji, sama ada bersifat duniawi atau ukhrawi. Ini sudah pasti akan memberi satu pengalaman yang amat berguna dan bernilai dalam kehidupan seseorang. Pada masa itulah seseorang itu akan menghargai kehidupan yang dialaminya di kampung halamannya dan tanah watannya. Segala aspek yang baik dan positif dapat diterjemahkan dalam kehidupan hariannya yang sudah pasti beliau meraih pahala dan keredaan Allah.
Mengimbau nostalgia hamba Allah
Seolah-olah sebahagian ibadat haji mengajak umat Islam mengimbau sejarah lama, khususnya Nabi Ibrahim dan keluarganya. Justeru semangat keIbrahiman dan KeHajaran sepatutnya dibawa pulang oleh jemaah haji. Bukan hanya menceritakan kepada anak buah betapa letihnya saie antara Safa dan Marwah kerana jauh jaraknya. Sebaliknya mengambil semangat tawakal dan bergantung harap Siti Hajar kepada Allah dalam menempuh sisa-sisa keperitan hidup yang mencabar antara dahaga dan kasih-sayang kepada anaknya, Ismail.
Memahami watak manusiawi
Imam Nawawi pada mukadimah kitabnya Al-Idhah menyebut sejumlah pesanan dan wasiat kepada bakal jemaah haji agar berinteraksi dengan sebaik mungkin termasuk hal berkaitan harta benda, makan minum, tawar menawar, pinjaman dan sewaan supaya ibadah haji yang dilakukan dapat disempurnakan dengan baik.
Ini kerana apabila bermusafir segala watak sebenar manusia akan terdedah kerana itulah salah satu daripada makna safar ialah mengubah watak seseorang kepada hakikat dan realitinya yang sebenar. Pujangga pernah berkata: "Pilihlah jiran sebelum dirikan rumah dan pilihlah rakan sebelum melakukan pelayaran."
Dalam haji, jemaah haji didedahkan dengan pelbagai watak yang terkadang mengguris dan menyinggung perasaan di samping ada yang benar-benar mempamerkan akhlak yang unggul serta prihatin yang teramat sangat kepada rakan taulan, tetapi golongan seperti ini amat nadir dan sedikit dan sudah pasti akan diminati serta dikasihi oleh jemaah haji yang lain.
Muzakarah ilmiah
Oleh kerana aspek ibadah haji atau disebut manasik haji, merupakan sebuah rehlah rabbani sudah pastinya ilmu merupakan asas yang terpenting supaya benar-benar menepati sunah nabi. Hal ini selaras dengan perintah Rasulullah SAW: Ambillah manasik haji kamu daripadaku. (riwayat Bukhari).
Justeru tidak hairanlah Tabung Haji dan lain-lainya mengadakan kursus yang mempunyai banyak siri supaya ilmu dan kefahaman benar-benar dihayati oleh bakal jemaah haji. Tetapi hal yang lebih menarik daripada itu, apabila sampai di Kota Mekah, bahkan seawal perjalanannya lagi sentiasa kedengaran pelbagai pendapat dilontarkan sehingga terlalu ramai "pakar", "mufti", "tokoh ulama", yang mengemukakan pendapat dan hujahan terkadang-kadang hanyalah berkiblatkan kepada logik akal semata-mata. Inilah yang sepatutnya dijauhi.
Cuba memperibadikan sahabat yang unggul
Ghalibnya jemaah haji akan berkunjung ke Kota Suci Madinah al-Munawwarah dan beberapa tempat di sekitar Madinah yang penuh keberkatan seperti Uhud, Perkuburan Baqie, Khandak dan lain-lain. Ini sudah pasti mengingatkan kita kepada hayah as-Sahabah dalam mempertahankan agama Allah dan meninggikan syiarnya.
Bayangkan bagaimana Hamzah Singa Allah rebah dalam Perang Uhud kerana tusukan tombak yang membawa kepada syahidnya. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Kalaulah dapat diperibadikan dalam jiwa jemaah haji seperti mereka itu, sudah pasti sinar gemilang Islam akan muncul kembali.
Cinta Rasul
Ini sudah semestinya dapat dipamerkan ketika kunjungan para jemaah ke Makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi. Perasaan syahdu, sayu, sedih dan rasa kebersalahan seseorang itu ternyata zahir ketika lafaz, Assalamualaikum Ya Rasulullah diucapkan berhadapan dengan makamnya. Ketika itu kaki seolah-olah menjadi kaku, kepala ditundukkan, mata dikenangi dengan air mata, dan pemikiran terpusat kepada sahsiah yang paling unggul dimuka bumi itulah Rasulullah SAW.
Ketika itulah sebuah tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjadi umat Rasulullah dan pengikutnya yang setia berasaskan sunah dan sirahnya. Perkataan Ya habibi, wahai kekasihku Ya Rasulullah diulang kembali sehingga lupa orang di sebelahnya meskipun suami atau isterinya. Itulah cinta Rasulullah.
Kembali dengan sahsiah Islamiah
Dengan selesainya ibadah haji, apabila batu lontaran terakhir di jamrah selamat masuk ke tempatnya maka jemaah haji berpaling mengadap kiblat, berdoa dengan penuh harapan agar dimabrurkan hajinya. Justeru harapan seolah-olah jemaah haji menjadi bayi yang baru dilahirkan tanpa dosa dan dalam keadaan bersih perlu dipertahankan.
Sementelahan pula pada tawaf Wada' seseorang itu membuat perjanjian kepada Allah untuk menjadi hamba Allah yang hakiki. Hal yang sama juga berlaku ketika ucapan selamat perpisahan dalam ziarah Wada' kepada Rasulullah SAW.
Inilah yang sebenarnya patut dibawa pulang selepas memasuki madrasah haji dan telah bergraduan dengan kemabruran haji. Pulang dengan membawa misi mabrur yang disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu pemakaian sifat yang mahmudah seperti memberi salam dan sentiasa menjamu orang, terutamanya fakir miskin dengan makanan.
Itulah sedikit sebanyak coretan falsafah dan hikmah di sebalik pensyariatan haji yang semestinya difahami oleh dhuyufurrahman. Semoga matlamat menuju kepada kemabruran haji tercapai. Amin...

No comments: