MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Friday, August 17, 2012

TIDAK DIGALAKAN BERMAIN MERCUN




MESKIPUN mercun sudah diwartakan sebagai bahan larangan menerusi Akta Bahan Letupan 1957, namun ia masih tetap dijual, dibeli dan dimainkan oleh segelintir umat Islam yang tidak bertanggungjawab.
Implikasi daripada itu, kes-kes kecederaan akibat bermain mercun terus-menerus berlaku. Ada yang dilaporkan putus jari, buta sebelah mata, putus telinga, rumah terbakar dan sebagainya.
Sebenarnya, bermain mercun bukan saja diharamkan melalui peruntukan undang-undang sedia ada, malah dalam agama Islam pun ia diharamkan. Paling tidak, terdapat tiga sebab utama kenapa bermain mercun itu diharamkan dalam Islam.
Pertama, ia boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan. (al-Baqarah: 195).
Jelas di sini bahawa Allah SWT melarang kita daripada melakukan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan kecederaan, penderitaan dan kemusnahan. Begitu juga dengan bermain mercun, ia boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri.
Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan kewajipan menolak atau mengelak kemudaratan, sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain.
Diriwayatkan daripada IbnU 'Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiada mudarat dan tidak boleh membalas sesuatu kemudaratan dengan mudarat." (Riwayat IbnU Majah).
Kedua, selain memudaratkan diri sendiri, bermain mercun juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang lain. Perkara ini selari dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang membawa mudarat, Allah SWT akan memudaratkan dirinya sendiri. Sesiapa yang menyusahkan orang lain, Allah SWT akan menyusahkan dirinya pula. (riwayat Abu Daud).
Mudarat di sini boleh terjadi dalam dua bentuk iaitu bunyi bising letupan mercun yang dibakar itu ia boleh mengganggu ketenteraman hidup jiran-jiran dan masyarakat awam. Tahap pengharaman ini akan semakin tinggi apabila bunyi bising letupan mercun itu mengganggu umat Islam yang sedang beribadat di masjid-masjid atau di surau-surau.
Selain mengeluarkan bunyi yang bising, bermain mercun juga boleh mendatangkan kecederaan kepada orang lain.
Sehingga kini sudah ada beberapa kes individu yang tercedera akibat terkena letupan mercun yang dibakar. Lebih dahsyat lagi apabila mercun itu sengaja dilemparkan ke arah individu tertentu dengan niat untuk bergurau atau sengaja untuk mencederakannya.
Ketiga, bermain mercun jelas sebagai salah satu bentuk pembaziran. Amalan membazir ini amat dilarang oleh Allah SWT sehinggakan orang-orang yang membazir itu dilabelkan sebagai saudara mara syaitan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya. (al-Isra' ayat 27)
Berhubung larangan pembaziran ini juga, al-Mughirah bin Syu'bah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta. (riwayat al-Bukhari).
Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW ini, bermain mercun itu dikira juga sebagai pembaziran kerana ia hanya membakar wang demi untuk keseronokan dan kemeriahan yang sedikitpun tidak memberi manfaat.
Gunakanlah harta dan rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT itu untuk perkara-perkara kebaikan. Lebih baik lagi jika wang yang diperuntukan untuk membeli mercun yang haram hukumnya itu digunakan untuk bersedekah pada bulan Ramadan yang mulia ini.
Kesimpulannya, bukan saja bermain mercun itu haram, malah menjual dan membeli mercun juga haram pada pandangan (tasawur) Islam. Kedua-duanya merupakan wasilah utama yang membawa kepada kes bermain mercun.
Dalam hal ini, si penjual dan ibu bapa yang membelikan mercun untuk anak-anak mereka tidak terlepas daripada dosa. Sebenarnya ibu bapalah yang berperanan besar untuk menerapkan nilai baik ini dalam diri anak-anak dengan tidak membelikan mercun untuk mereka...

No comments: