MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS


counter

Wednesday, July 9, 2014

DUNIA KINI

MAJLIS AYAHANDA NEGERI SEMBILAN-MANS

Kalau kita perhatikan di hari ini semuanya telah berlaku dengan mudah tanpa perasaan gentar dan takut akan azab Allah SWT, lantaran itu leka dengan tipu daya dunia, berpaksikan kebolehan dan kuasa yang ada maka sanggup melakukan apa sahaja, asalkan dijulang nama atau apa sahaja dengan bertuhankan kuasa dan kedudukan. Dengan dikurniakan sedikit pangkat mahu pun sedikit harta (termasuklah wang), maka sanggup berlakon menjadi warak dan alim… Ada juga yang terus menerus mengadu domba, memfitnah di sana sini tentang sipolan-sipolan, memaki hamun, menyumpah-seranah,mengherdik, marah-memarahi, menyukarkan diri untuk meminta maaf, suka mencari kesalahan orang dan berbagai-bagai perangai buruk hasutan iblis dan syaitan laknatullah sesungguhnya Allah S.W.T Maha Mengetahui. Namun semuanya merupakan pengajaran agar kita tidak termasuk di dalam senarai golongan itu dengan sentiasa menjaga iman yang ada. Marilah kita sentiasa beristighfar sama ada kita sedang duduk, sedang memandu sekalipun sedang bersantai. Marilah kita berusaha menambah IMAN yang ada.


Marilah kita menjaga lidah dan menilainya setiap masa (hapuskan menilai kekurangan orang lain malahan menilai kebaikan dan keburukan diri sendiri setiap hari) selagi ajal belum menjemput. Tegurlah dengan cara berhemah jika ada kesalahan atau kesilapan saudara kita, sesungguhnya manusia tidak sunyi daripada kesalahan mahu pun kesilapan. Sesungguhnya suatu pahala yang akan diperolehi jika kita orang yang berakal. Biarlah kita miskin harta di muka bumi ini tapi kita kaya dengan akhlak dan budi yang baik. Sentiasalah memikirkan tentang kematian yang bakal mendatang. Marilah kita fikirkan sejenak apakah bekalan yang perlu kita bawa ke alam kubor nanti? Marilah kita bersama-sama hilangkan perangai buruk kita yang selalu suka buruk sangka kepada orang lain. Marilah kita maaf-memaafkankan sesiapa juga yang kita pernah kenali (mungkin telah ada berbuat kesalahan kepada kita), bahkan doakan mereka setiap kali mereka berjalan pulang selepas berjumpa kita. Marilah kita sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan cara yang sopan. Hindarkanlah dari menceritakan hal yang tidak baik orang lain.

Dengan harapan apa yang dituturkatakan itu tidak menyinggung orang lain atau tidak menyimpang daripada lunas-lunas dan sahsiah agama sebagaimana yang dikehendaki oleh syara'.Asasnya kita perlu berusaha dan sentiasa menyedari akan lidah kita dengan menjaga bait-bait lisan. Merujuk sebuah HadisRasulullah SAW yang bermaksud:
“Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah (SWT) kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqomah,kami pun akan turut sama beristiqomah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.”
(Hadis riwayat Tirmizi)

1 comment:

Majlis Ayahanda Negeri Sembilan said...

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan sunnahku maka sesungguhnya ia mencintaiku, dan sesiapa yang mencintaiku, maka nanti ia bersamaku di dalam syurga”