Rasulullah SAW meskipun sudah dijamin Syurga, Baginda tetap sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diazab di dalam neraka jahanam. Baginda juga sentiasa mengingatkan sahabat dan umat Islam supaya sentiasa memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diseksa dalam neraka. 

Dicipta untuk jin, manusia lakukan maksiat 

Neraka dicipta untuk jin dan manusia yang melakukan maksiat serta kejahatan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah).” (Surah al-A’raf, ayat 179) 

Malaikat yang sentiasa beribadah kepada Allah SWT juga sering memohon perlindungan daripada Allah SWT supaya tidak diazab dalam api neraka. 
Mengenai pintu neraka, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Jahanam itu benar-benar tempat yang telah diancam kepada mereka (pengikut syaitan) semuanya. Jahanam itu mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu (telah ditetapkan) untuk golongan yang tertentu dari mereka.” (Surah al-Hijr, ayat 42-44) 

Suara mereka yang diseksa dalam neraka adalah seperti himar yang diiringi dengan tarikan nafas panjang dan kemudian berakhir dengan teriakan keras. Ahli neraka merasai seksaan yang amat pedih, lalu mereka meminta pertolongan, tetapi pintu neraka tertutup rapat. 

Selain itu, mereka berasa sangat lapar, dahaga, pedih dan pelbagai kesakitan lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika mereka meminta minum, nescaya akan diberi minuman air seperti logam yang terlebur dan menghanguskan muka mereka. Itulah seburuk-buruk minuman dan tempat istirehat yang paling buruk.” (Surah al-Kahfi, ayat 29) 

Sumber Ensiklopedia Kiamat